Ramadan Bulan Perjuangan dan Kemenangan

1. Ramai menyangka bulan Ramadan adalah bulan untuk memperlahankan aktiviti harian dan banyakkan rehat berbanding melakukan sesuatu yang bermanfaat. Hal seperti ini adalah logik bagi kebanyakan kita memandangkan tiada makan dan minum di siang hari dan tenaga badan juga berkurang.

2. Tahukah kita bulan mulia ini terlalu banyak peristiwa besar yang berlaku kepada umat Islam? Dan tahukah kita banyak kisah perjuangan dan kemenangan yang dicapai berlaku pada bulan yang disangka kerehatan melebihi segalanya?

3. Antara peristiwa besar yang berlaku adalah perang Badar, perang Tabuk dan pembukaan kota Palestine di zaman Saidina Umar. Kesemua peperangan agung ini bukanlah yang biasa-biasa kerana ia adalah peperangan berdepan dengan golongan kufar yang memerangi islam. Dan kesemuanya dimenangi ketika bulan Ramadan.

4. Jadi janganlah kita alpa dan leka kepada jerih melawan hawa nafsu yang lapar dan dahaga. Di Malaysia kita juga tidak sunyi dengan serangan bertali arus yang dilakukan oleh mereka yang merancang rapi membangkitkan isu-isu sensitif di bulan yang penuh kemuliaan ini.

5. Iklan judi yang berkait Aidilfitri, majikan yang mendera pekerja yang berpuasa, perjuangan kumpulan Suhakam yang tidak henti-henti mengguris umat Islam dengan isu-isu sensitif. Apakah hal sedemikian dilihat kebetulan dan masih menjadikan umat ini masih mahu tutup mata dan berehat sahaja? Di Palestin kita tahu Zionis Israel sudah hampir pasti membuat serangan di bumi Gaza di bulan Ramadan. Dan ia memang berlaku lagi tahun ini dan hampir pasti pada tahun hadapan.

6. Kita bersyukur kerana masih terdapat anak-anak muda yang menginsafi realiti umat Islam hari ini. Mereka ini tidak tunduk dengan kebiasaan hidup selesa. Bahkan mereka terus menerus berusaha mengembalikan identiti sebenar umat Islam. Mereka duduk berbincang dan terus melaksanakan apa yang mereka yakini tanpa gentar. Mereka tidak diikat dengan kefahaman politik sempit, mereka juga jelas akan hala tuju dan matlamat mereka. Bagi mereka, kebenaran Islam itu akan dipacakkan sejauh tempat terbit dan terbenamnya matahari.

Firman Allah swt :
” Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman dengan tuhan mereka dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka ” (Al-Kahfi : 13) .

7. Marilah kita terus berusaha berjuang sedaya upaya menyelamatkan keadaan umat Islam yang dalam keadaan lesu. Serulah rakan-rakan yang berhampiran untuk meraikan Ramadan ini dengan perjuangan sebenar, meningkatkan kualiti ibadah bukan kerehatan berpanjangan.

 

Dr. Mohammad Faezuddin bin Shamsualharis
Pengerusi I-Medik Kuala Lumpur/Aktivis ISMA Kuala Lumpur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat