Saya cukup teruja apabila berpeluang untuk berhadapan dan berinteraksi dengan remaja di Karnival Lepasan Sekolah anjuran Kelab Remaja Isma (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Sarawak beberapa minggu yang lalu. Ketika berkomunikasi dengan mereka, saya teringat dengan sepotong kata-kata yang berbunyi, ‘Remaja pemimpin masa depan.
Ingin lihat masa depan negara, lihatlah para remaja dan belia hari ini. Kualiti mereka menentukan status negara pada masa akan datang.’ Demikian pentingnya untuk kita membentuk remaja ini menjadi seseorang yang mampu memikul tanggungjawab pada masa akan datang.
Saya tekankan kepada mereka tentang pentingnya menjadi manusia yang beragenda. Orang beragenda mempunyai matlamat dan halatuju kehidupan yang jelas. Melihat situasi setempat, saya cukup risau. Hal ini kerana, ramai anak muda ini yang tidak menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya. Malahan ramai yang hanya berpeleseran melakukan perkara yang tidak berfaedah. Saya turut berpesan kepada mereka, buatlah keputusan yang akan menguntungkan diri, dan ambillah peluang yang ada. Tuntutlah ilmu sepanjang hayat. Tiada guna menjadi manusia tanpa ilmu.
Menjadi remaja dan belia di zaman ini sangat mencabar. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mendapati sekurang-kurangnya satu daripada 10 belia di Malaysia pernah terfikir untuk membunuh diri. Kajian turut mendedahkan bahawa satu daripada lima remaja berasa tertekan manakala dua daripada lima remaja berasa bimbang dan celaru dengan kehidupan. Dapatan ini menjelaskan kesihatan mental dan suasana kehidupan kita dalam keadaan yang sangat membimbangkan.
Saya turut tekankan, remaja beragenda juga tidak harus larut dengan alam maya sahaja. Tidak hanya berfikir dan pentingkan diri sendiri. Lihatlah situasi semasa dan dunia hari ini. Cakna isu masyarakat dan negara. Apa yang sedang berlaku kepada Rohingya, Uighur, Palestin dan lain-lain? Pergolakan di Laut China Selatan juga turut memberi ancaman kepada kedaulatan negara dan hari ini orang sudah berbicara tentang perang dunia ketiga.
Semua ini menuntut kita untuk membuat persiapan yang sewajarnya. Apakah nasib diri kita sekiranya hanya membiarkan diri sendiri ditentukan oleh situasi dan orang lain. Ingatlah, “Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya.” (Ar Ra’du : 11)
Ustaz Abdul Rahman bin Ismail
Yang di-Pertua Isma Samarahan