Hakikat sebenar yang menyebabkan riba’ itu dicerca dalam Al-Quran ialah kerana ianya adalah sebuah kezaliman dan penindasan.
Ia mengubah seorang manusia yang dilahirkan bebas daripada sebarang bentuk kehinaan dan tekanan daripada sesama makhluk, kepada seorang manusia yang terpenjara dan dibelenggu oleh rantai yang meragut kebebasan jiwanya untuk menjadi seorang manusia yang sempurna.
Bukankah itu satu jenayah yang luar biasa dahsyatnya terhadap kemanusiaan? Kehidupan dan kebebasan diragut oleh cemeti dan rantai penindasan, maka natijahnya ialah terbunuhnya kemanusiaan.
Tidak hairan seruan yang diletakkan oleh Allah s.w.t sendiri kepada riba’ ini ialah ia mesti diperangi. Apa makna perang? Semua orang boleh memahaminya. Perang ertinya menundukkan dan menghapuskan.
Semua hakikat ini merupakan ruh yang sepatutnya mewarnai perspektif dan tindakbalas umat Islam terhadap sesiapa yang mendokong dan menjalankan jenayah penindasan manusia melalui riba’.
Ustaz syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim
Aktivis Bangi