Dalam usaha negara memerangi Covid-19, wanita dilihat memainkan peranan yang sangat penting kerana pengorbanan mereka dalam membendung gejala ini. Kekuatan jiwa wanita dalam mengurus diri, keluarga dan anak anak ketika negara dilanda pandemik tidak harus dipandang sebelah mata.
Hakikatnya, sejarah membuktikan telah lahir ramai wanita bersifat dan berperibadi waja dalam menghadapi ujian.
Lihatlah kekuatan jiwa Saidatina A’isyah tatkala menghadapi peristiwa satu peristiwa fitnah di mana orang-orang munafik menuduh Aisyah R.Anha melakukan zina dengan seorang sahabat yang bernama Sofwan Bin Mu’attol R.A. menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat di Madinah. Kesabaran Saidatina Aisyah ini berlarutan sehingga sebulan lamanya dan wahyu tertahan tidak turun. Sehinggalah kemudiannya Allah menurunkan ayat ke 11 daripada Surah Al-Nur membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat kaum munafik.
Lihatlah bagaimana Sumayyah kuat menghadapi tekanan kerana keberaniannya berpegang dengan Islam hingga syahid disiksa di padang pasir.
Lihatlah keteguhan jiwa Masyitah dengan iman di hadapan firaun hingga rela dihumban ke dalam minyak panas bersama anak anaknya.
Lihatlah juga keteguhan prinsip Rumaisa’ yang telah meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi dalam kehidupannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang ingin kekal dalam dunia jahiliah.
Para sahabiat dan ummul mukminin menjadi contoh dan ikutan terbaik wanita berhati waja.
Pada mereka terkumpul ciri dan sifat-sifat yang kuat.
Wanita waja sentiasa berfikiran positif. Mereka yang berfikiran positif tidak putus asa dengan rahmat Allah. Mereka yang berfikiran positif akan selalu memandang sisi baik pada satu satu perkara dan menjauhi unsur unsur negatif yang boleh mengganggu pemikirannya.
Mereka yang berfikiran positif ini tidak akan merasa lemah dan akan sentiasa bersemangat. Kerana itu wanita yang berfikiran positif adalah juga mereka yang sentiasa bersangka baik dengan Allah. mereka yakin bahawa Allah tidak akan menguji hamba-hambanya melainkan dengan untuk meningkatkan darjat keimanan mereka.
Wanita berhati waja juga adalah wanita yang tahan menanggung kepayahan dan keperitan. Kecekalan melalui ujian dan tribulasi adalah bermula dari hati yang kuat dan yakin kepada pertolongan serta bantuan Allah.
Malah wanita yang waja adalah wanita yang kukuh pegangan akidahnya. Peranan wanita tidak seharusnya hanya diperkasakan dari segi kebolehannya untuk berkorban pada negara, tetapi juga harus diperkasakan dari segi kekuatan asasnya iaitu akidahnya. Wanita muslimah yang mempunyai akidah yang sejahtera akan teguh hadapi dugaan kerana mereka yakin kepada taqdir dan ketentuan Allah.
Kesemua sifat ini akhirnya melahirkan sebuah kehidupan yang sejahtera. Kesejahteraan yang sebenar adalah apabila kita meletakkan Allah dan Rasul sebagai panduan hidup.
Semoga dalam dunia yang serba mencabar ini, wanita muslimah dapat menjadi sinar kepada masyarakat yang kian diuji keimanannya.
Untuk itu wanita mesti berusaha mengeluarkan diri dari tekanan sepertimana yang kita lihat dalam kehidupan Saidatina Khadijah, Aisyah, Safiyyah, Khawlah Al-Azwar dan ramai lagi wanita tauladan dalam Islam. Mereka wanita yang tidak gentar akan takdir yang Allah telah tetapkan. Setiap ujian yang melanda mereka dihadapi dengan penuh reda dan perasaan tawakkal yang tinggi pada Allah.