Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Saya dengan ini menyeru seluruh umat Islam di seluruh Malaysia untuk sama-sama kita hadir pada Hari Peradaban Bangsa Melayu yang akan diadakan pada 30 Julai hari Sabtu ini bersamaan dengan 1 Muharram 1444 Hijrah.
Bangsa Melayu adalah merupakan bangsa yang sudah memiliki satu tamadun dan peradaban yang tinggi sejak sekian lama.
Mereka adalah bangsa yang sudah menguasai ilmu astronomi, sudah menguasai ilmu pelayaran, sudah menguasai teknologi besi, sudah menguasai ilmu pertukangan, sudah menguasai banyak perkara-perkara lain.
Tetapi di sana terdapat satu peristiwa yang cukup penting yang telah dilakukan oleh nenek moyang bangsa Melayu dahulu, iaitu dengan menjadikan dan memilih Islam sebagai suatu teras dan tonggak serta tulang belakang kepada peradaban dan ketamadunan Melayu tersebut.
Daripada situ akhirnya Melayu menjadi bangsa yang begitu mulia dipandang oleh rakan dan juga lawan, dipandang oleh segala yang duduk di nusantara dan juga di seluruh dunia.
Dan kemasyhuran Melayu ini adalah merupakan suatu yang diakui oleh Portugis, diakui oleh China, diakui oleh tamadun-tamadun besar pada satu ketika dahulu.
Tetapi malangnya Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, kita melihat dan menyaksikan bagaimana pada hari ini terdapat cubaan demi cubaan dan usaha yang berterusan untuk menjatuhkan bangsa Melayu dan memusnahkan maruah bangsa Melayu sehingga akhirnya bangsa Melayu berasa terhina di bumi sendiri dan akhirnya bangsa Melayu malu untuk mengaku sebagai orang Melayu.
Jadi, festival Hari Peradaban Bangsa Melayu ini di antara lain kita lakukan adalah untuk kita memperingati semula kegemilangan dahulu dan memperingati peradaban Islam yang telah sama-sama kita bangunkan dan telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita kepada kita.
InsyaAllah kami semua menanti Tuan-tuan dan Puan-puan untuk bersama-sama pada hari Sabtu ini dan kita jadikan ini sebagai satu titik permulaan untuk kita mulakan semula pembangunan ketamadunan dan peradaban bangsa Melayu di era kita.
Wallahu a’lam
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA