Sekolah Vernakular Gagal Memupuk semangat cintakan Bahasa Kebangsaan

Satu kajian yang dibuat pada 2018 mendedahkan bahawa kira-kira 55.7% pelajar SJKC dan SJKT di salah sebuah negeri di Semenanjung Malaysia tidak mampu bertutur bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Kajian yang sama juga menyatakan sekalipun mereka lulus Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu Sekolah Rendah (UPBM-SR), kebanyakan mereka hanya menggunakan ayat yang telah dihafal sebelumnya.

Sebaliknya pelajar bukan natif yang mampu bertutur dengan tahap fasih hanyalah sebanyak 4.5% dan tiada pelajar yang mampu memperoleh tahap sangat fasih. Situasi ini sebenarnya agak menggusarkan dan merisaukan.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada fenomena ini ialah kekurangan suasana dan medium penggunaan Bahasa Melayu bagi golongan pelajar tersebut.

Bahasa utama yang digunakan di luar sekolah hanyalah bahasa ibunda masing-masing selain bahasa Inggeris. Tambahan, sikap negatif yang ditunjukkan oleh sebahagian pelajar bukan Bumiputera terhadap bahasa Melayu turut mengeruhkan lagi keadaan.

Melalui satu kajian berasingan didapati bahawa hanya kira-kira 30% pelajar Cina yang menyatakan minat untuk membaca dan mempelajari bahasa Melayu. Selebihnya merasakan tiada keperluan untuk mempelajari bahasa kebangsaan itu.

Data-data seumpama ini menggambarkan kegagalan sistem SJKC/SJKT dalam konteks pembentukan identiti nasional Malaysia yang mapan. Kegagalan untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai medium perpaduan merencatkan usaha ke arah pembinaan peradaban negara Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang mempunyai semangat nasional.

Tidak asing lagi hakikat bahawa bahasa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah peradaban yang menjadi teras kepada keharmonian dan perpaduan rakyat.

Apakah faktor lain yang mampu menyatupadukan perbezaan rakyat pelbagai bangsa selain bahasa? Mustahil identiti bangsa dapat dileburkan dalam satu acuan yang sama.

Keterikatan kepada ras dan bangsa merupakan satu perkara yang penting dalam satu-satu tamadun seperti yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun dan tokoh peradaban lain. Apatah lagi kesamarataan agama juga terbukti sebagai satu model yang gagal dalam menjamin keharmonian umat manusia.

Justeru bahasa kebangsaan seharusnya menjadi pentas utama dalam membentuk perpaduan dalam sebuah peradaban yang meraikan kepelbagaian etnik yang mampu menjamin kesejahteraan, tanpa mengorbankan identiti bahasa ibunda kaum masing-masing.

Masalah yang berlaku adalah apabila satu-satu etnik memandang enteng kepentingan bahasa selain bahasa ibunda mereka khususnya bahasa yang menjadi bahasa utama yang termaktub dalam perlembagaan.

Situasi yang membimbangkan ini lambat laun akan mewujudkan generasi yang tidak lagi menghormati Perlembagaan yang menjadi tiang seri negara Malaysia walaupun sebenarnya hal ini bukanlah perkara yang baharu.

Hari ini turut terdapat golongan dewasa dan elit dalam kalangan pemimpin mahupun masyarakat sendiri yang mula mencabar status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Ada yang mengajak rakyat memperlekeh pejuang bahasa Melayu kerana mereka dianggap sebagai golongan sempit, ada yang mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan dan papan tanda.

Kemudiannya ia akan berakhir dengan kemarahan sebahagian besar rakyat lantas mengganggu gugat keseimbangan masyarakat setempat.

Pemerintah perlu bertanya kepada diri sendiri apakah yang mahu dibentuk oleh mereka? Adakah mereka mahu meneruskan fenomena yang mampu menggangu gugat stabiliti negara kita? Adakah mereka mahu melahirkan generasi yang semakin berani menghakis keluhuran perlembagaan? Apakah rasionalnya mempertahankan SJK yang terbukti gagal membentuk semangat nasional khususnya melalui medium bahasa?

Adakah mereka masih lagi terperangkap dalam permainan politik usang dan jijik dan sanggup mengorbankan prinsip demi secebis undi? Tepuk dada tanyalah hati.  

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat