KUALA LUMPUR, 20 Sept – “Berikutan pandemik Covid-19, ramai orang yang terkesan disebabkan oleh PKP sepanjang 6 bulan ini. Golongan wanita menjadi sosok penting yang menguruskan kesihatan fizikal & emosi ahli keluarga yang berada di rumah sepanjang tempoh berikuT,” kata Ustazah Suriani Sudi, Ketua Wanita ISMA ketika merasmikan Seminar Wanita Islam (SERWANIS) 2020 dengan tajuk Pertolongan Cemas Emosi yang berlangsung di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Ahad lalu.
Menurut beliau, SERWANIS sekali lagi mengenengahkan isu kesihatan mental kepada para wanita memandangkan masalah emosi menjadi peratusan tertinggi, iaitu hampir 47 peratus daripada rekod panggilan yang diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semenjak perlaksanaan PKP.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga merekodkan sebanyak 353 kes rumah tangga melalui talian e-Kasih.
Seminar anjuran Wanita Isma Kuala Lumpur tersebut dihadiri 50 orang peserta dan bertujuan memberi pendedahan jelas tentang isu kesihatan mental dan kaedah pertolongan cemas emosi dalam menguruskan diri sendiri dan orang di sekeliling mereka.
Dalam seminar itu, masalah kesihatan mental disampaikan oleh Dr Muna Hamiza, pegawai perubatan sarjana psikiatri UNISZA, dan diteruskan dengan kaedah pertolongan cemas emosi oleh pakar psikiatri UIAM merangkap aktivis I-Medik, Dr Rozanizam Zakaria.
Puan Jamaliah Wahab sebagai panel jemputan khas pula berkongsi mengenai persona diri dalam menjadi wanita yang lebih bahagia.
Dr Osman Md Rasip, YDP Isma Kuala Lumpur dalam ucapannya bersetuju bahawa program sebegini penting supaya wanita dapat mempelajari kaedah pertolongan cemas emosi, di samping menjadi satu peluang bersosial bersama wanita yang lain.
“Isu kesihatan mental ini bukan lagi isu terpencil. Kalau wanita tahu perkara ini, mereka dapat membantu diri sendiri, suami, anak-anak, ahli keluarga mahupun rakan-rakan yang lain untuk mendapat pertolongan cemas emosi sewajarnya mengikut apa yang disarankan oleh pakar kesihatan”, katanya.