SIAPA DALANG DI SEBALIK KEMPEN #RespectMyVote ?

Hari ini media melaporkan bahawa Global Bersih akan melancarkan kempen #RespectMyVote bagi memprotes perlantikan Perdana Menteri Malaysia di peringkat antarabangsa yang menjadikan komuniti rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara sebagai penggerak utama.

Saya tidak pasti siapa sebenar-benarnya di sebalik gerakan ini tetapi saya kira ini adalah gerakan yang ingin memburuk-burukkan nama Malaysia pada komuniti antarabangsa. Adakah ini merupakan strategi yang didokong oleh pihak-pihak luar terutamanya barat untuk meruntuhkan sesebuah negara yang mana kita tahu ‘tapak’ mereka adalah di Geneva.

Persoalannya, mengapakah Global Bersih ini hanya berdiam diri apabila berlaku kes-kes besar yang berprofil tinggi seperti kes pembunuhan Adib, komunis, LTTE dan sebagainya sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan dulu?

Jika benar mereka memperjuangkan keadilan dan membawa mesej perjuangan untuk negara, mengapakah mereka senyap apabila kes Lim Guan Eng digugurkan, kes YB dituduh merogol, kes-kes penghinaan Raja-Raja dan agama Islam yang merupakan agama negara? Yang paling penting, manakah ‘gerakan’ mereka ini apabila kerajaan menipu segala manifesto dan berlakunya salahguna kuasa?

Atau sebenarnya Global Bersih ini mahu negara kita dikawal oleh mereka-mereka yang bertunjangkan pemikiran Barat dan mahu menyusupkan idea-idea liberalisme? Apakah langkah memburuk-burukkan negara di mata dunia baik untuk negara terutamanya untuk rakyat Malaysia? Atau adakah mereka hanya mahu memenuhi nafsu mereka tanpa memikirkan rakyat?

Saya menyeru kepada kerajaan agar memantau dan sekat segala pergerakan mereka di dalam negara kerana tindakan-tindakan radikal mereka hanya akan menghancurkan negara.

Mungkin mereka lupa, apa yang berlaku ini adalah salah puak-puak mereka juga yang gilakan kuasa dan asyik bertelagah sesama sendiri, bukannya salah orang lain. Adakah mereka sengaja ‘pejamkan mata’ apabila melihat pada hakikat ini?

Rakyat harus berhati-hati dengan fitnah-fitnah yang akan dibawa oleh mereka yang sebenarnya bermotifkan kepuasan nafsu mereka sahaja.

Sama-samalah kita pelihara nama baik negara. Jika tidak bersetuju dengan sesuatu pun, berpada-padalah.

Wallahu’alam.

Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA
4 Mac 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat