“Sia-sia Kerja Keras Kami Perangi Covid19 Selama 2 Tahun”
Begitulah luahan seorang doktor perubatan yang bertugas saban hari menghadapi situasi genting pandemik Covid19 di negara kita.
Dengan jumlah jangkitan harian dan jumlah kematian yang tinggi, amat tidak wajar jika kerajaan tidak menumpukan kepada usaha mengawal jangkitan, mengurangkan kes-kes jangkitan baru serta kes-kes kematian di negara ini.
Tambahan pula, kes-kes BID (brought in dead) kian bertambah, demikian juga kes-kes yang memerlukan rawatan rapi (ICU).
Di daerah Johor Bahru kita cuma mempunyai 2 buah hospital yang merawat kes2 Covid19. Dengan bilangan katil yang sangat terhad, dan jumlah kes baru yang masih melebihi 2000 setiap hari, dijangka keupayaan ICU akan bertambah kritikal.
Sepanjang tempoh 3 minggu lepas, saya menerima kes-kes yang datang ke klinik dengan ‘severe shortness of breath’, dengan kadar peratusan oksigen darah cuma sekitar 86-90% sahaja. Kes-kes ini bukanlah merupakan kontek rapat, tetapi mereka bergejala teruk dan kemungkinan dijangkiti varian adalah tinggi.
Kami mengambil risiko untuk membantu pesakit, dalam keadaan klinik kesihatan, Covid19 Assessment Center (CAC) yang sangat ‘overflow’, kami memainkan peranan menilai, membuat saringan dan membuat rujukan pesakit ke hospital.
Namun mutakhir ini kes-kes yang kami terima di sekitar daerah JB semakin membimbangkan. Keadaan ini tidak menunjukkan trend bahawa jangkitan Covid19 adalah terkawal.
Tambahan pula, dengan pembukaan pelbagai sektor sekarang, kemungkinan kes akan naik semula dalam tempoh 2 minggu akan datang tetap ada.
Kadar vaksinasi yang mencecah hampir 50% populasi rakyat Malaysia tidak memberikan jaminan apa-apa jika dilihat ‘on the ground level’. Daerah Pontian contohnya, mempunyai tahap vaksinasi lengkap cuma sekitar 34%.
Maka, masih terlalu awal untuk Malaysia mengiktiraf Covid19 sebagai endemik di negara ini. Masih banyak yang perlu dilakukan oleh pihak kesihatan daerah bagi memastikan peratus kes jangkitan menurun dan kes kematian dapat dikurangkan ke paras yang lebih rendah berbanding keadaan semasa.
Pengiktirafan endemik hanya akan menjadikan kerja keras kami selama 2 tahun sia-sia.
Situasi endemik meletakkan tanggungjawab mengawal penularan virus kepada rakyat.
Dalam keadaan sekarang, kesedaran masyarakat masih di tahap yang membimbangkan, ada yang masih tidak jelas cara penyebaran virus Covid19 ini.
Wajarkah kita mahu meletakkan tanggungjawab besar ini ke bahu mereka? Di dalam keadaan rakyat lemah, negara perlu menjadi ‘guardian’ kepada rakyat. Tanggungjawab negara di dalam menjaga rakyat Malaysia masih belum selesai. Walaupun kami bekerja keras setiap hari, kami tidak akan mengaku kalah sehingga keadaan menjadi lebih baik.
Dr Nur Farrah Nadia binti Najib
Aktivis I-Medik Johor