Sunnah Nabi Dalam Menumpaskan Musuh Islam

Oleh : Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed IbrahimĀ 

Sekiranya kita meneliti tabiat strategi Nabi s.a.w dalam memerangi Musyrikin Quraisy, dan membandingkannya dengan strategi Nabi s.a.w dalam memerangi Yahudi di Madinah, kita akan melihat wujudnya perbezaan yang ketara.
Salah satu perbezaannya ialah dari sudut kaedah memerangi kedua-dua kelompok musuh ini.

Nabi s.a.w menyusun strategi yang bersifat separa terbuka, berunsur dominasi, dan mempamerkan kekuatan (istilah hari ini seperti serangan ‘shock and awe’,’gunboat diplomacy’ dsbnya) dalam memerangi Musyrikin Quraisy.

Bermula daripada serangan pra-Badar sehinggalah pembukaan Mekah, kita dapati Nabi s.a.w menggunakan strategi yang bersifat seperti yang disebutkan untuk menundukkan Musyrikin Quraisy. Musyrikin Quraisy akhirnya tunduk setelah Mekah kembali ke tangan orang Islam, dan pembesar-pembesarnya (yang tidak terkorban dalam perang) menerima Islam dan menerima kepimpinan Nabi s.a.w.

Hal yang berbeza diperhatikan dalam strategi Nabi s.a.w dalam memerangi Yahudi di Madinah. Sebelum berlakunya perang Khaibar yang dianggap sebagai kemuncak tindakan Nabi s.a.w ke atas Yahudi Madinah, strategi yang digunakan oleh Nabi s.a.w ke atas Yahudi banyaknya bersifat rahsia (clandestine), menggunakan taktik yang licik, bersifat ‘surgical’ (serangan yang mematikan tanpa meninggalkan jejak yang banyak, ke atas sasaran yang terpilih (high-profile).

Kita lihat contohnya arahan Nabi s.a.w untuk melakukan pembunuhan ke atas dua ‘tycoon’ Yahudi di Madinah iaitu Ka’ab al-Ashraf dan Sallam abi al-Huqayq atau Abu Rafi’. Kedua-dua tycoon ini merupakan ‘media mogul, financier, investor, real-estate owner, and advisor’ (macam biasa lihat kan deskripsi begini?) di Madinah yang banyak menjadi dalang kempen memburukkan Islam di Madinah, serta menjadi dalang di sebalik siri-siri peperangan yang dilancarkan oleh Musyrikin Quraisy.

Pembunuhan ke atas kedua-dua tycoon ini dijayakan oleh sahabat-sahabat dari kalangan Ansar (Aus & Khazraj) yang memang sudah lama sakit hati kerana sejak zaman perang Bu’ath (perang 100 tahun) di Madinah, kelompok Yahudi ini adalah kelompok yang menjadi ‘war profiteer’ di Madinah sejak sebelum Nabi s.a.w datang lagi.

Kita lihat hatta dalam perang Khaybar, Nabi s.a.w tidak sekadar melancarkan serangan biasa malah Nabi mengeluarkan arahan-arahan yang spesifik seperti arahan membakar semua aset Yahudi, menyiasat semua lokasi harta Yahudi yang tersembunyi, dan menangkap (serta menyoal-siasat secara taktikal) mana-mana tokoh Yahudi yang menyembunyikan rahsia kekayaan Yahudi di Khaybar.

Apakah yang boleh kita fahami daripada perbandingan ‘nature’ strategi Nabi s.a.w di atas?
Lain musuh, lain perkara yang menjadi titik lemah atau ‘vulnerability’ mereka. Musyrikin Quraisy berbangga dengan status, prestij, dan kemegahan jawatan mereka sebagai penjaga Baitullah al-Haram. Yahudi Madinah pula berbangga dengan monopoli dan kejayaan mereka menjadi ‘manipulator’ dan ‘profiteer’ di sebalik tabir, dan kehidupan mereka yang selesa dari sebarang ancaman langsung (lihat sahaja tembok dan kubu mereka di sekitar Madinah).

Kekalahan dalam perang berunsurkan kekuatan tentera dan pengaruh (seperti kekalahan dalam perang Badar, kekalahan dalam perang Khandaq, dan siri kekalahan pasca Perjanjian Hudaibiyah) amat menakutkan Quraisy dan menjatuhkan psikologi mereka untuk menentang Islam.

Manakala pembunuhan high-profile ke atas tycoon dan rampasan ke atas segala aset-aset yang selama ini disembunyikan, menggerunkan Yahudi Madinah yang menyangka selama ini tiada siapa yang boleh menembusi lapisan-lapisan keselamatan dan kawalan yang mereka bina.

Nabi s.a.w adalah qudwah dan contoh tauladan terbaik buat kita. Setiap jejak langkah Baginda yang kita turuti akan menjadikan kita hidup dalam cahaya hidayah dan kebahagiaan yang sejati.

Generasi awal Islam tidak tidur dan mudah berpuas hati dengan kejayaan kecil-kecilan malah mereka beramal dengan sunnah Nabi s.a.w dalam memerangi taghut yang muncul di setiap zaman, dalam wajah dan konteks yang berbeza. Oleh kerana itu generasi tersebut berjaya hidup dalam kehormatan, dan memimpin dunia dengan kemuliaan.

Generasi hari ini tidak akan mengecapi kemuliaan yang sama, kecuali kita kembali menjiwai dan berhempas pulas menuruti strategi yang menjadi sunnah Nabi s.a.w.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat