Dugaan berkahwin lain, dugaan yang bujang lain jua. Jihad kelompok berbeza ini punya level yang tersendiri.
Siapa pernah dikatakan pelik kerana tiada teman lelaki? Begitu juga saat awal-awal mula pakai tudung dalam rumah bila ada saudara datang. “Apa ko ni ni pelik, dalam rumah pun nak pakai tudung.”
Kita ini biasa dikelilingi dengan mentaliti masyarakat yang bila sudah ada telefon bimbit sendiri, sudah sekolah menengah apatah lagi capai usia belia, mesti ada teman lelaki.
Tiada? Kau memang pelik. Tak laku mesti sebab tak cantik. Ataupun sebab pendek. Ataupun mak ayah tak sporting.
Bila hari raya, ada saja yang akan membandingkan anak dia ada teman lelaki, pelik kita sudah berusia tapi tiada. Iyalah, anak dia kan putih, tinggi dan bergaya.
Dulu mula-mula memang lah terasa cemburu juga. Orang lain ada teman lelaki. Main mesej senyum-senyum. Ada orang tanya khabar tiap hari. Surprise hadiah segala.
Memang begitu.
Lumrah hidup perempuan, suka disayangi. Padahal ibu ayah dari kecil bagai menatang minyak yang penuh kita ini, tak pernah kita ambil berat pun perasaan mereka. Kita suka cari di luar sana.
Fana sendiri lahir dari sekolah semua perempuan. Pergi balik asrama dihantar Baba. Masuk kolej juga begitu. Tiada ruang berkenalan dengan lelaki di stesen bas atau dunia luar. Saat usia cecah 18 tahun, tarbiah menyapa diri ini, terus berubah segala fikrah tak couple itu tak laku.
Malah bertukar jadi syukur pula.
Disaat orang lain kejap-kejap moody merajuk dengan teman lelaki, mood kita always happy makan coklat sesedap hati.
Orang lain terpaksa beratkan fikiran dan jiwa dengan fikir hubungan yang belum halal itu, kita yang tak couple ini tenang dengan suka hati nak fikir dan buat apa ikut kehendak kita.
Tak perlu nak menjaga kecantikan untuk yang bukan halal. Tak perlu nak jaga hati lelaki yang belum tentu dia suami kita. Ya, bercinta 8 tahun belum menjamin dia jodoh kita. We never know.
Tak perlu juga nak korban masa dan mood yang sepatutnya untuk agama, demi masalah cinta dunia yang sebentar cuma.
Kau nak cakap belum masanya? Sampai bila kau nak sendiri begini?
Hingga jalan halal itu terbuka. Terbuka dengan rahmat Allah yang Maha Kuasa. Bersama senyuman syukur ayah bonda. Dipenuhi berkat dan ketenangan jiwa.
Couple bukan bererti kita laku,
Itu hanya ujian berbalut indah tanpa bau;
Berdoalah kepada Allah yang Satu,
Agar dipelihara hingga halal itu mengetuk pintu.
Farhana Zali
Aktivis Wanita ISMA Melaka Tengah