BANGI, 28 Mei – Lewat kini kerajaan giat menjalankan tangkapan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kini dianggarkan seramai 10 ribu orang.
Namun, tindakan terhadap 100 ribu pelancong China dan India yang masih belum keluar dari Malaysia juga perlu lebih agresif.
“Setakat gerakan memburu PATI musim COVID 19 ini masih belum bersua lagi dengan pelancong tersebut. Mereka tidak tinggal di rumah-rumah kongsi kerana mereka datang ke Malaysia bukan untuk bekerja sebagai kuli atau buruh kasar di ladang-ladang, lombong-lombong dan tempat pembinaan .
“Mereka golongan berpendidikan dan berkemahiran yang tinggal di kediaman mewah dan berbelanja besar,” kata Ketua Perhubungan Isma Kelantan, Ustaz Sharipudin Ab Kadir.
Tambahnya lagi pelancong China dan India yang datang ke Malaysia ini bukan untuk melancong tetapi kerana mahu menetap di sini.
“Mana ada dalam rekod pelancongan di dunia ini melancong di sebuah negara kecil mencecah beberapa tahun melainkan ada perancangan sulit lain telah disusun oleh dalang-dalang besar dari dalam negara ini sendiri.
“Mereka datang untuk menetap di negara ini serta mendapatkan kewarganegaraan di negara secara tipu muslihat dan mengorek lagi saki baki harta kekayaan negara ini,” katanya lagi.