Tarannum, Kemuliaan Al-Quran dan Perjuangan

Dua tiga hari ini tular isu teguran seorang ustaz yang senior terhadap beberapa gelagat para qari muda yang mempamerkan seni tarannum Al-Quran dengan cara yang tidak wajar.

Teguran itu juga disambut baik oleh pihak yang terlibat dan seterusnya menutup perbalahan sedia ada atas satu landasan yang sama bahawa Al-Quran ada haibah dan ketinggiannya, sama sekali tidak wajar diperlihatkan atau diperlakukan seperti nyanyian dan hiburan yang longgar apatah lagi jika melibatkan perkara yang tidak patuh syariah.

Saya melihat kita sewajarnya meletakkan perkara ini pada kedudukan yang betul, setiap ilmu ada peranannya dan setiap manusia ada medannya.

Saya berpegang kepada :

1. Tajwid dan fasohah lebih utama daripada lagu dan suara. Saya yakin perkara ini adalah suatu yang badihi (diterima semua) oleh semua qari yang bergelumang dalam dunia tarannum dan maqamat. Saya hanya nyatakan ia sebagai peringatan kepada masyarakat awam yang terpana dengan irama tetapi melupakan keaslian bacaan yang lebih utama.

2. Ahli Al-Quran, sama ada penghafaz Al-Quran, qari, atau pelajar jurusan Ilmu Al-Quran perlu mempamerkan akhlak Al-Quran yang menjelmakan keindahannya, ketinggiannya, dan kemuliaannya. 

3. Tarannum bukan sekadar untuk sedap didengar di telinga. Ia hakikatnya sebahagian daripada seni dalam menjelmakan makna Al-Quran itu al-Balaagh (sampai makna). Justeru ia memerlukan jiwa yang benar-benar makmur dan hidup di dalam alam Al-Quran untuk menyampaikan manusia kepada alam Al-Quran.

4. Jika jiwa qari itu tidak makmur, kosong dan kering daripada siraman air jernih dari alam Al-Quran, ia hanya akan membawa pendengar, penonton dan masyarakat berpusing-pusing pada alam zahir (al-mulk) ini, kerana jiwanya tidak pun mengetuk pintu-pintu alam malakut itu. 

5. Suara dan irama yang terpancar adalah terjemahan kepada perasaan dan jiwa yang tersembunyi. Jika jiwa itu bersambung dengan alam malakut dan alam Al-Quran, suara itu akan menarik pendengarnya ke destinasi yang sama. Jika tidak, maka tidak.

6. Masyarakat awam perlu memahami tujuan Al-Quran yang lebih utama, setelah merasai ketinggian nilai bacaan Al-Quran yang merdu dan menggamit jiwa dan perasaan. Iaitu tujuan Al-Quran diturunkan untuk dihayati, diterokai makna dan pesanannya, dan diamalkan ajarannya pada setiap masa dan ketika. 

7. Umat perlu meletakkan diri di hadapan Al-Quran seperti seorang tentera yang menunggu arahan komandernya. Atau sebagai seorang hamba yang menanti arahan tuannya. Atau sebagai seorang manusia yang menanti arahan Tuhannya. Bagaimana mungkin seseorang yang menanti arahan-arahan itu hanya melihat bentuk dan iramanya, tetapi mengabaikan arahan dan tuntutannya? 

8. Apakah pula gelaran kepada mereka yang hanya memerhatikan keindahan laungan Al-Quran, tetapi mengabaikan secara tidak sedar, petunjuk dan seruan perubahan kemanusiaan secara total, yang menuntut pemikiran, pengorbanan, kesungguhan dan perjuangan yang tidak berkesudahan dalam peperangan hak dan batil itu?

Saya risau dan khuatir, jauhnya kita dari isu yang utama, akan menjadikan kita terperangkap dalam talbis Iblis yang menyibukkan kita dengan isu-isu kecil, dan mengabaikan isu-isu yang lebih besar.

Moga dengan pegangan ini, kita mampu membawa sesuatu yang lebih besar dan bermakna, yang melangkaui rongga halkum dan lubang telinga.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Setiausaha Agung Muafakat Ilmuan Islam (MUIS)

Scroll to Top