Teknologi, Manusia dan Adaptasi

Oleh: Abdullah, Aktivis ISMA Subang Jaya

Tahun 2020 banyak menyaksikan manusia ‘dipaksa’ menggunakan teknologi bagi urusan kerja mereka. Saya katakan pandemik Covid-19 ada juga sisi kebaikan yang boleh diambil iaitu manusia mengadaptasi teknologi dengan kadar yang pantas daripada kebiasaannya di seluruh dunia. Mereka bermesyuarat di atas talian, guru perlu mengajar anak muridnya menggunakan Google Meet, makcik-makcik bertilawah menggunakan aplikasi Zoom di komputer ribanya. Saya yakin orang awam paling terkesan dengan perubahan mendadak ini akibat ketidaksiapsiagaan.

Seperti mana-mana bidang, teknologi juga ada pelbagai ilmu teknikal yang janggal bagi orang awam. Akan tetapi, semakin banyak juga teknikal teknologi yang orang awam cakna dan peka seperti membuat rakaman dan menyunting video, mengadakan mesyuarat jabatan di telefon pintar dan paling penting ialah membeli teknologi yang sepatutnya untuk bekerja dari rumah atau lebih dikenali sebagai ‘Work From Home’.

Ada beberapa kelebihan teknologi kepada manusia. Antaranya ialah memudahkan urusan harian kita dengan menjimatkan masa dan tenaga. Tidak dilupakan teknologi juga mampu meningkatkan kapasiti manusia atau buat apa yang manusia tidak mampu.

Bagaimanapun, teknologi bukanlah sempurna. Ia juga ada kelemahannya bahkan manusia ada menggunakannya untuk lakukan perkara yang kurang baik.

Jadi, perlukah teknologi ini?

Semestinya perlu. Anda bayangkan gunting juga adalah satu teknologi. Ia sebuah mesin yang memudahkan kita memotong sesuatu dengan kemas dan menjimatkan masa. Jika tiada gunting, banyak kerja kita yang semakin lambat untuk diselesaikan. Dengan teknologi kereta, manusia mampu sampai ke destinasi dengan pantas dan efisien berbanding berjalan kaki. Tambahan pula, teknologi komputer yang pelbagai ini mampu menyiapkan pelbagai tugasan pekerjaan anda seperti menghantar dan menerima emel, mereka grafik, mengatur pembangunan bandar secara digital dan membeli barang secara atas talian! Jika saya tidak mempunyai teknologi, saya yakin artikel ini pun saya tidak boleh siapkan.

Walaupun begitu, teknologi yang cepat diaplikasikan ke dalam masyarakat juga mampu mengganggu sosio-ekonomi negara. Saya bagi contoh, teknologi ‘AI-powered robot’ yang mampu menggantikan pakcik jaga, pelayan tetamu, resepsi hotel dan lain-lain. Kita sudah nampak beberapa negara berlumba membuat robot untuk dipasarkan. Betul, menggunakan robot boleh menjimat kos ‘overhead’ kerana tidak perlu menggajikan mereka dan mungkin lebih efisien kerana tiada kerenah dan ragam seperti manusia. Akan tetapi, jika robot ini dengan mudahnya menggantikan manusia maka semakin ramai orang akan kehilangan mata pencarian, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.

Tahniah kepada syarikat-syarikat teknologi kerana merancakkan pembangunan teknologi dengan pesat. Contohnya syarikat Apple menyelesaikan masalah ‘earphone’ yang berwayar dan mudah rosak dengan mereka produk bernama ‘Airpods’ yang mudah dibawa dan disimpan. Sekarang kita perlukan usahawan Melayu yang boleh bersaing dengan syarikat gergasi ini dan saya yakin kita mempunyai banyak bakat mencipta teknologi yang inovatif ini tetapi terhalang dengan kekangan modal dan faktor-faktor lain.

Kesimpulannya, teknologi ini tidaklah perlu terlalu cepat dan tidaklah juga terlalu lambat. Sebaiknya perlu mengikut pengadaptasian manusia terhadap teknologi tanpa mengabaikan keperluan semasa manusia. Saya sarankan belajarlah menggunakan teknologi ini agar anda tidak ketinggalan zaman yang dikatakan zaman industri revolusi ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat