Teruskan Semai Sikap Cintakan Negara

Erti kemerdekaan yang biasa kita fahami adalah bebasnya negara kita daripada penjajahan kuasa kuasa asing. Tidak sedikit para pejuang rebah mencium bumi saat menentang penjajah yang menguasai Tanah Melayu waktu itu. Bayangkan pada waktu itu, bangsa penjajah tidak perlu membawa tentera seramai rakyat kita untuk menjajah. Adakah kerana liciknya mereka atau kerana lemahnya kita?

Sempena ulangtahun kemerdekaan negara kita untuk kali ke 64 pada tahun ini, saya ingin mengajak pembaca untuk sama-sama merenung adakah negara kita ampuh daripada sebarang penjajahan. Adakah Malaysia untuk 10, 20, 30 tahun yang akan datang dan seterusnya akan kekal daripada penjajahan. Apa jaminan kita Malaysia hari ini akan kekal selamanya? Menelusuri sejarah yang lalu, bukankah empayar Melayu dahulu lebih besar jajahannya daripada Malaysia hari ini?

Tak Kenal Maka Tak Cinta
Tanggungjawab memelihara negara bukanlah tanggungjawab pemimpin dan kerajaan sahaja. Ianya adalah tanggungjawab setiap rakyat yang berpijak di negara ini dan mengaku ini adalah negara tumpah darahnya. Lantaran itu, penulis ingin mengajak wanita memainkan peranan dalam institusi keluarga untuk sama-sama menanamkan semangat cintakan negara bermula pada diri kita sendiri, anak-anak dan keluarga. Persoalannya, adakah cukup dengan berbekalkan perasaan cinta untuk memelihara negara kita? Bukankah cinta itu bukan hanya dengan kata-kata tapi dengan perbuatan.

Tanggungjawab seseorang rakyat Malaysia telahpun terkandung di baris-baris Rukun Negara yang diyakini setiap daripada kita sudah sedia mengetahuinya. Kemerdekaan merupakan puncak kebebasan kepada negara kita dalam mentadbirnya mengikut acuan kita. Perlu diingatkan, antara ancaman pada negara kita adalah sebarang bentuk idealogi yang boleh mencairkan pegangan terhadap rukunegara kita.

Cabaran masa kini

Mendepani cabaran masa kini yang tertumpu pada penggunaan telefon pintar, adakah keadaan Malaysia akan bertambah baik seiring pendedahan perkembangan media-media yang pelbagai? Adakah kepintaran akan bertambah seiring penggunaan telefon pintar? Perlu diingatkan apa yang kita lihat, apa yang kita dengar akan mempengaruhi pemikiran kita lantas membina persepsi. Cabaran menapis kandungan berita sahih ataupun palsu, maklumat penting ataupun tidak, hiburan yang berlebihan yang kesemuanya tanpa sempadan adalah antara faktor-faktor yang perlu dititik beratkan.

Oleh itu, suntikan semangat cintakan boleh disemarakkan melalui penglibatan diri dalam program yang bersifat kenegaraan, menambah bacaan mengenai sejarah negara, menormalisasikan busana nasional, khidmat masyarakat, peduli isu negara, penglibatan diri dengan aktiviti sihat di luar rumah dan sebagainya.

Generasi hari ini adalah tonggak masa hadapan negara. Untuk melihat gambaran masa hadapan, lihatlah bagaimana sikap dan masa yang digunakan generasi muda masa kini. Masih tidak terlewat untuk mempunyai masa hadapan yang gemilang selagi mana kita bermula dengan serius melakukan perubahan dalam diri sendiri, keluarga, msyarakat dan seterusnya negara secara kolektif. Buktinya, merdekanya kita pada hari ini adalah hasil jerit perih, titik peluh dan darah generasi terdahulu. Kini giliran kita pula. Bukan persoalan mampu, tapi, mahukah kita?

Nur Aisyah Azeezah
Wanita Isma Seremban

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat