Baru-baru ini, tular kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai tindakan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan (JAWI) terhadap transgender.
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Islam adalah agama yang mendidik dan pihaknya tidak mahu golongan transgender ini ditangkap semata-mata tanpa memberikan kesedaran kepada mereka.
Kenyataan ini adalah bertepatan dengan pendirian yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu LGBT, iaitu tidak bersetuju dengan perlakuan LGBT, namun tidak menafikan hak pelaku untuk dibimbing dan dinasihati.
Usaha yang dilakukan oleh pihak seperti JAWI, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri bukanlah satu bentuk diskriminasi kepada golongan LGBT tetapi sebagai satu bentuk nasihat dan bimbingan agar mereka kembali kepada hidup bersyariat.
Malangnya kenyataan ini diputar belit oleh Ambiga Sreenavasan (International Comission of Jurists, ICJ) yang direkodkan menyatakan bahawa “Menteri mengabsahkan gangguan, diskriminasi dan kekerasan terhadap komuniti transgender.”
Kenyataan ini dibuat untuk menggambarkan seolah-seolah golongan ini sering dizalimi di negara kita.
Perkara sama juga telah dibangkitkan oleh aktivis LGBT, Numan Afifi sewaktu ucapannya di Semakan Berkala Sejagat (UPR), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva pada Mac 2019.
Beliau mendakwa program mukhayyam bersama komuniti LGBT beragama Islam, yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebagai program keganasan yang didanai kerajaan dengan menggunakan pendekatan ‘corrective therapy’.
Sebagai jawapan, MACSA (Malaysia Alliance of Civil Society Organisation) telah menjelaskan bahawa penyertaan dan kehadiran peserta dalam program mukhayyam tersebut adalah sepenuhnya dilakukan secara suka rela tanpa sebarang paksaan. Ianya sangat bercanggah dan jauh daripada dakwaan terapi pemulihan yang dijalankan di negara luar yang melibatkan elemen paksaan.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, masyarakat Islam di Malaysia sepatutnya bebas untuk mengamalkan nilai-nilai hidup berasaskan kefahaman ajaran Islam dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
Nilai-nilai yang bertentangan dengan agama, tatasusila dan budaya perlu dibendung supaya tidak berlaku kerosakan yang besar dalam masyarakat.
Promosi orientasi seks songsang akan meruntuhkan institusi kekeluargaan, menyebabkan kecelaruan menentuan nasab dan mengakibatkan kekeliruan besar dalam masyarakat seperti mana yang telah dialami oleh masyarakat di barat.
Gaya hidup LGBT juga berkait rapat dengan penularan penyakit bawaan seksual seperti HIV yang akan memberi kesan buruk kepada generasi akan datang.
Idea kebebasan hak asasi manusia bagi seorang muslim seharusnya dipandu oleh syariat Islam dan bukan disokong sewenang-wenangnya tanpa syarat.
Ini bukanlah bermakna golongan LGBT boleh dikasari dan dizalimi malah mereka perlu diusahakan untuk disantuni dan diberi nasihat serta bimbingan seperti umat Islam yang melakukan kesalaha-kesalahan yang lain.
Mereka yang telah sedar dan insaf seharusnya diberi hak untuk kembali ke pangkal jalan. Keputusan mereka juga perlu dihormati oleh masyarakat termasuk golongan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.
Masyarakat perlu menyokong langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama. Masalah kecelaruan gender dan orientasi seks ini perlu ditangani secara holistik dengan mengambil kira pandangan agama dan budaya masyarakat Malaysia.
Aktiviti pendidikan seperti yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama dan NGO Islam perlu digiatkan untuk membimbing mereka kembali kepada fitrah yang sebenar.
Rujukan:
Kenyataan media JAKIM berhubung kenyataan Numan Afifi dan 41 NGO
http://www.islam.gov.my/media-jakim/kenyataan-media/1958-kenyataan-media-jakim-berhubung-kenyataan-numan-afifi-dan-41-ngo
Media statement : Numan must apologise, retract baseless claim on state sponsored violence against LGBTs – MACSA
https://www.centhra.org/from-our-fa
Dr Insyirah Ahmad Kamal
Ikatan Muslimin Malaysia Seremban