Tips membakar biskut

Assalamualaikum…
Salam akhir ramadan

Dalam kesedihan Ramadhan meninggalkan kita, kita juga meraikan kedatangan 1 Syawal sebagai tanda satu kemenangan atas perjuangan sepanjang Ramadhan :

Dalam norma masyarakat kita, 1 Syawal diraikan dengan pelbagai juadah istimewa..
Pasti puan-puan ramai yang telah membuat kuih Raya sendiri.

Lagi pula ibu-ibu yang mempunyai banyak masa sepanjang PKPB ini.
Izinkan saya berkongsi sedikit sebanyak tips-tips membuat biskut.

1. Sangai tepung

Ramai yang belum tahu kelebihan sangai tepung. Kebiasaannya tepung dijemur dibawah matahari,namun tepung juga boleh disangai di atas kuali @ di dalam ketuhar.

Tahukah anda kenapa tepung disangai?
Tepung disangai akan menjadi lebih ringan dan kering, jadi lebih mudah menyerap bahan-bahan yang di adun bersamanya seperti aroma marjerin, buah-buahan dan sebagainya menjadikan hidangan anda lebih berperisa.

Jangan lupa ya untuk ayak semula tepung yang disangai kerana tepung yang panas akan sedikit berketul.

 

2) Marjerin @ mentega

Secara umumnya saya suka menggunakan mentega dari sumber tenusu kerana ia menghasilkan biskut@ kek yang wangi dan ringan. Terdapat pelbagai jenama mentega seperti anchor, golden churn, la belle, Elle & vire dan sebagainya namun mentega ini sebenarnya sedikit mahal berbanding marjerin.

Kebanyakan resepi biskut Raya tradisional menggunakan marjerin, jadi jangan risau jika belanjawan anda sedikit ketat dan perlu memilih marjerin sebagai pilihan kerana itulah rasa tradisional kuih-kuih kita.
Jika menggunakan marjerin, terdapat beberapa pilihan jenama di pasaran seperti buttercup, Adele dan sebagainya. Jenama marjerin pilihan saya sudah semestinya Latifolia, lebih wangi dan tekstur yang ringan selain harga mampu milik.
Namun jika anda mahu sedikit kelainan, boleh juga mencuba adunan campuran mentega dan marjerin seperti jenama Butler yang mempunyai 80% mentega dan 20% marjerin.

3) Pewarna

Terdapat beberapa jenis pewarna makanan di pasaran, antaranya yang berbentuk serbuk dan cecair. Yang berbentuk cecair secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu berasaskan air @ minyak.

Secara peribadi, saya lebih gemar menggunakan pewarna cecair berasaskan minyak kerana lebih mudah untuk mengadun menjadi warna yang sekata. Jika menggunakan pewarna sintetik, saya lebih suka menghasilkan warna-warna pastel. Namun,jika anda dapat menggunakan pewarna semulajadi adalah lebih baik. Pewarna semulajadi boleh diperoleh daripada sumber tumbuhan seperti beetroot untuk warna merah hati yang selalu digunakan dalam resepi red velvet.

4) Penyimpanan biskut

Sebaik-baiknya biskut disimpan tidak bercampur dengan jenis biskut yang lain kerana setiap biskut menggunakan adunan bahan yang berbeza dan akan menjejaskan rasanya dan menjadikannya mudah lemau. Jika anda membeli set biskut combo yang diletakkan di dalam satu bekas yang sama,saya nasihatkan untuk salin ke bekas yang berbeza. Anda juga boleh meletakkan sebunjut garam di dalam bekas bagi menyerap lembapan. Penggunaan bekas kedap udara bagi menyimpan biskut adalah sangat digalakkan.

Sekian sahaja sedikit sebanyak perkongsian. Semoga bermanfaat kepada semua.

Nor Fazzliana Marzuki
AJK Wanita Isma Sepang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat