Top Glove untung banyak, ini masanya utamakan pekerja tempatan

BANGI, 15 Julai – Top Glove, syarikat pengeluar sarung tangan terbesar di dunia di seru untuk mengambil pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan di kilangnya, kata Ketua Pemuda Isma, Arifin Manan.

“Top Glove sudah buat banyak keuntungan sepanjang Covid 19 ini dan pemiliknya menjadi jutawan baru di Malaysia.

”Jadi sudah sepatutnya Top Glove mengutamakan tenaga kerja tempatan dengan gaji dan insentif yang setimpal,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, Bernama melaporkan yang pengasas Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai merayu kepada kerajaan untuk mengambil pekerja asing bagi menampung permintaan sarung tangan yang meningkat 100 peratus sepanjang tempoh kawalan pergerakan (PKP).

Namun kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia tidak membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun.

Tambahnya lagi, tenaga kerja tempatan bukan memilih tetapi mencari kerja yang setimpal dengan usaha yang diberikan.

Mengulas tentang komen yang beranggapan pekerja tempatan tidak mahu bekerja di tempat yang panas dan melekit, beliau menyanggah kenyataan itu.

“Hujah pekerja tempatan tidak mahu bekerja di tempat yang panas dan melekit (hot and sticky) adalah dibuat-buat kerana ketika Pasar Borong KL membuka peluang pekerjaan, 500 orang anak tempatan hadir temuduga untuk 60 kekosongan sahaja,” katanya lagi.

Mengikut laporan Berita Harian, Top Glove Corporation Bhd kini muncul sebagai syarikat ketiga terbesar di Bursa Malaysia, mengatasi Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat