Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU) menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar berhubung sidang Parlimen pada 18 Mei 2020 lalu sebagai ‘sampah dan tidak berguna’ dianggap melampau dan menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Dewan Rakyat.
Susulan daripada itu, tiga laporan polis dibuat oleh ISMA SPU di tiga tempat secara serentak iaitu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Kulim, dan Timur Laut.
Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Biro Dakwah yang juga wakil ISMA Syukbah Bertam, Mohd Izwan Ishak berkata, tindakan Xavier yang merupakan seorang ahli Parlimen disifatkan sebagai provokasi dan mengajak rakyat membenci YDPA.
“Mungkin beliau merasakan ia dibuat untuk mendapat populariti, tetapi hakikatnya, tindakan beliau ini hanya membangkitkan kemarahan dan kebencian rakyat kepada beliau sendiri”,
“Saya ajak semua rakyat agar cam betul-betul wajah ini. Pastikan individu seperti ini tidak mendapat tempat dalam mana-mana pilihan raya akan datang,” katanya.
Sementara itu, Naib Yang di-Pertua (NYDP), Muhammad Hafiz Abd Rahim, bersama-sama dengan Ketua Perhubungan Negeri (KPN) ISMA Pulau Pinang, Ustaz Haji Abdul Rahim Sudin, dan aktivis mewakili ISMA Syukbah Kulim telah membuat laporan polis di IPD Kulim.
Muhammad Hafiz berkata kenyataan berbaur hasutan ini tidak sewajarnya keluar dari seorang ahli Parlimen.
“Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Raja-Raja, kami berharap supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan susulan sewajarnya selain mengenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada ke atas ahli Parlimen itu,”
“Kami juga memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mewujudkan keadaan yang tidak tenteram, kami akan bangkit untuk memberi bantahan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Ketua Syukbah Tanjung, Ustaz Muhamad Farid Umor Parok dalam kenyataannya mendesak supaya Xavier meletak jawatan kerana mencemar institusi dan ahli Parlimen yang lain dan mengingatkan rakyat Malaysia supaya mengundi Calon Muslim Berwibawa pada PRU akan datang.
Usaha badan bukan kerajaan (NGO) lain dan ISMA SPU membuat laporan polis membuktikan bahawa perkara ini bukan dianggap remeh dan membuktikan kepada Xavier dan mana-mana individu atau kumpulan yang membuat penghinaan sebegini perlu diambil tindakan segera.
Oleh Nur Husnuzzan Azizan
Biro Komunikasi Korporat & Multimedia
ISMA Seberang Perai Utara