Cadangan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) untuk menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka mendapat bantahan tegas daripada MCA yang disuarakan oleh Timbalan Pengerusi MCA Kota Melaka, Datuk Ronald Gan. Bantahan ini membawa kita kepada beberapa persoalan yang boleh difikirkan.
Adakah MCA lebih suka rakyat Malaysia berbangga dengan sejarah peninggalan Portugis berbanding sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang lebih panjang?
Walaupun merupakan sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan orang Cina di Malaysia, namun ia sepatutnya dalam kerangka menghormati sejarah dan asas negara ini yang telah lama sebati dengan nilai keislaman dan sejarah perjuangan umat yang panjang.
Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama seharusnya mendokong bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mana termaktub dalam perlembagaan persekutuan bahawa Islam adalah agama negara. Sejarah perjuangan Melayu mempertahankan negara ini dalam siri perjuangan yang panjang juga tidak boleh dinafikan.
Penukaran nama kepada nama asal bukit tersebut kepada Bukit Melaka menggantikan nama Bukit St Paul yang diberikan nama sempena nama gereja yang dibina oleh Portugis di atas bukit tersebut setelah menjajah Melaka adalah suatu usaha yang amat baik dan selari dengan sejarah Malaysia.
Lantaran itu, semua warga negara Malaysia yang JUJUR seharusnya mendokong sebarang usaha untuk meningkatkan kembali jatidiri serta kebanggaan kepada sejarah negara kita sendiri seperti mana yang sedang diusahakan oleh PERZIM ini dan bukannya berbangga dengan sejarah yang diubah oleh penjajah.
Jika nak tukar nama pun dah bantah, apatah lagi nak buat perkara yang lebih besar?
Jika usaha mengembalikan rakyat Malaysia kepada sejarah yang betul, jatidiri yang betul dengan melakukan penukaran nama bukit telah mendapat tentangan, apatah lagi usaha seperti memperbaharui kurikulum sekolah, mewujudkan akta, menguatkuasakan undang-undang dan sebagainya pasti akan lebih dibantah.
Sepatutnya MCA membawa kaum Cina negara ini kepada membina semangat patriotik mencintai Malaysia, menghayati kontrak sosial dan mengakui sejarah negara ini yang sebenar. Bukan memperjuangkan kepentingan kaum Cina secara semberono tanpa sedar di mana bumi berpijak.
Orang Cina sudah mendapat kemakmuran hidup yang amat baik di Malaysia yang amat sukar atau hampir mustahil didapati di negara lain di dunia. Tiada penindasan kaum yang dilakukan tetapi perlulah mengakui akan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan.
Maka tidak hairan mengapa MCA nampaknya kerap terpalit dengan respon yang mempunyai kaitan dengan Melayu dan Islam seperti seperti tulisan Jawi, RUU355, UEC dan sebagainya.
Adakah MCA sekadar mengambil kesempatan dalam perkongsian kuasa dengan parti orang Melayu tetapi tidak menghormati aspirasi rakan kongsi tersebut? Bagaimana mereka boleh diharapkan menyokong aspirasi melayu dan Islam sedangkan tetapi boleh pula menang di kawasan majoriti melayu?Fikir-fikirkan.
Razak Kassim
Yang Dipertua Isma Alor Gajah