Tun M juga perlu ditegur

Berikutan status Tun Dr Mahathir di media sosial berkenaan bangsa Melayu dan DAP baru-baru ini ramai yang telah memberikan komentar dan maklum balas. Saya ingin mengutarakan pandangan saya dari beberapa sudut berikut:  

  1. Sedia dimaklumi Tun M adalah mantan PM dan seorang negarawan yang dihormati. Lantaran itu setiap status beliau sering mendapat perhatian ramai dari pelbagai kaum dan latarbelakang. Kadangkala menyokong dan ada juga yang menolak pandangan beliau.
  2. Dalam status yang terbaharu berkenaan lemahnya orang Melayu kerana takut DAP ini, nampak terlalu banyak yang menolak pandangan Tun. Hampir semua atau majoriti menolak. Ada juga yang cuba menrasionalkan pandangan Tun tersebut. Sebagaimana Tun, mereka yang memberikan komentar juga punyai pandangan dan alasan masing-masing.
  3. Status Tun tersebut sebegitu bunyinya boleh jadi kerana beberapa andaian. Boleh jadi kerana sayangnya beliau kepada orang Melayu lantaran itu membuat status secara reversepsikologi supaya sentap, atau mungkin bencinya beliau kepada sesetengah pihak lantaran menemplak orang Melayu agar jangan menyokong pihak tersebut. Mungkin juga kerana Tun kecewa sebab apa yang beliau kehendaki tidak kecapaian, lantaran orang melayu yang jadi mangsa amarah beliau. Dan banyak lagi andaian boleh dibuat.
  4. Namun apa juga kemungkinannya, ada beberapa perkara yang pada pandangan saya tidak betul dengan pandangan Tun ini dan sama sekali tidak boleh diterima. Tidak menafikan ada beberapa perkara yang Tun sebut dalam status tersebut benar dan rasa bangga membacanya.
  5. Pertama, tidak boleh diterima ungkapan yang mengatakan Melayu itu malas, lemah dan tidak kuat. Sebagaimana Tun dan kepimpinan kerajaan semasa beliau menjadi PM yang telah memajukan negara, banyak sejarah bangsa Melayu yang terdahulu sejak tamadun Sungai Batu, sejarah kegemilangan Melayu Melaka, Johor dan Pahang, sejarah penentangan terhadap penjajah dan banyak lagi semuanya membuktikan bahawa bangsa Melayu itu kuat, bertamadun, hebat dan boleh berdaya saing. Cuma kadar kekuatan dan daya saing itu sudah tentu pelbagai dan sudah tentu ada sisi yang negetif dan rosak. Kita hanya manusia biasa.
  6. Kedua, adakah bangsa Melayu takut DAP? Disebabkan tidak takutlah orang Melayu bangkit menolak DAP dan agenda Malaysian Malaysianya. Orang Melayu telah belajar dari sejarah PAP di Singapura, belajar sejarah kemasukan Cina ke Tanah Melayu dahulu, melihat banyaknya sikap rasis dan cauvenisnya DAP terhadap usaha memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu, dan yang paling tidak boleh diterima ialah parti DAP ini sekarang telah mengambil kuasa politik orang Melayu di tanah Melayu lebih-lebih lagi sejak selepas PRU14.
  7. Pada saya kalau nak kata orang Melayu itu lemah atau tidak bijak ialah kerana membiarkan kuasa politik orang Melayu tergadai disebabkan perbalahan politik yang tidak berkesudahan. Tidak bijaknya parti-parti orang Melayu, tidak kira dari parti mana pun, kerana bersekongkol, memberi laluan dan mengangkat kaum Cina di tempat-tempat orang Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan kuasa. Hakikatnya, kuasa wewenang politik orang Melayu terlepas kerana terpaksa bertolak ansur.
  8. Ketiga, Islam memerintahkan agar kepimpinan sebuah negara islam itu kekal ditangan orang Islam. Punyai kuasa wewenang untuk mengurus dan mentadbir berlandaskan kehendak syarak yang sudah tentu menjadikan keadilan islam sebagai sandaran. Ini juga bertepatan dengan asas perlembagaan. Jika status Tun tersebut tujuannya untuk mengajak orang Melayu tidak percaya dengan kerajaan sekarang dan seterusnya menaikkan semula kerajaan Pakatan Harapan seperti sebelum ini, di mana rakyat lihat hilangnya kuasa wewenang kepimpinan Melayu Islam, maka ini tidak wajar dan harus ditolak.
  9. Saya juga berpegang kepada prinsip bahawa mereka yang salah perlu dihakimi dengan seadilnya baik dari kalangan pemimpin atau rakyat, baik dari parti kerajaan atau pembangkang, semua perlu mendapat keadilan mahkamah yang bebas. Jika ini yang Tun bimbangkan, semua orang setuju dan biarlah mahkamah yang mengambil tanggungjawab.
  10. Saya juga berpandangan bahawa mereka yang kompiten dan berintegriti yang perlu diangkat sebagai pemimpin dan masih ramai dari kalangan orang Melayu yang professional, kompiten dan berwibawa. Mereka yang rasuah dan tidak beretika harus ditolak dari kepimpinan negara. Kaum Cina, India dan lain-lain yang hormati perlembagaan dan kompiten juga layak diberi tempat dalam beberapa sektor kerajaan.
  11. Jadi, apakah yang Tun harapkan dari status tersebut. Sebaiknya Tun memberikan pandangan-pandangan yang konstruktif agar orang Melayu terus maju, atau membantu kepimpinan kerajaan sekarang dengan meberikan idea atau menegur apa yang perlu ataupun berehat dan serahkan kepada generasi seterusnya untuk mengurus pentadbiran negara. Rakyat terus melihat dan menilai ucapan Tun. Bimbang nanti ramai pula yang mendoakan keburukan untuk Tun disebabkan pandangan Tun yang tidak tepat tersebut.

Wallahu a’lam.

 

Mohd Noor Azib Asmangi

JKP Isma 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat