Ada masanya, hubungan ibu bapa dan anak-anak menjadi seperti hubungan bos dan pekerja di pejabat, kalaupun tidak seperti hubungan antara Sarjan dan Prebet dalam pasukan tentera.
“Adik kemas dapur sekarang!”
“Kakak lepas ini sidai kain!”
“Kenapa tak gosok baju sebelum tidur? Bukankah dah diingatkan banyak kali?”
Bila selalu diarah-arah seperti staf bawahan, lama-lama anak-anak boleh makan hati. Tanggungjawab dilaksanakan sekadar melepas batok di tangga, halai balai, tiada keikhlasan.
Situasi begini pernah berlaku kepada saya sendiri. Satu hari, saya ucapkan terima kasih kepada semua anak atas kerja yang diminta untuk dilakukan.
“Terima kasih sebab tolong ayah sidai kain, ayah amat hargainya.”
“Terima kasih sebab bantu kemas mainan, ayah rasa bangga sangat.”
“Terima kasih sebab kemas rumah kakak, ayah rasa seronok sangat hari ini kakak rajin.”
Kesannya, beberapa hari selepas itu anak-anak melakukan kerja tanpa disuruh, walaupun iyalah, tidaklah bertahan lama, dan perlu diingatkan juga selepas itu. Anak-anak, tetap anak-anak.
Anak-anak memang sentiasa ingin rasa dihargai oleh ibu bapanya, kita yang dewasa pun begitu.
Ucapan terima kasih selepas anak-anak melakukan kerja-kerja rutin di rumah akan membuatkan anak-anak rasa seronok dan dihargai.
Lebih bermakna jika kita pegang setiap anak, tatap wajahnya, senyum dan ucapkan dengan penuh kesungguhan, bukan sekadar diucapkan terima kasih sambil menatap skrin telefon.
Hisham Sharif
Aktivis Isma
Penulis buku keibubapaan