SAYA agak terkejut apabila melihat iklan dari Kementerian Pendidikan Malaysia yang membenarkan pemegang sijil UEC untuk memohon program Ijazah Muda Perguruan. Apakah kerajaan sudah mengiktiraf UEC? Jika tidak, kenapa kemasukan kali ini dibuka kepada lulusan UEC?
Setahu saya, satu jawatankuasa yang telah dilantik oleh kementerian sebelum ini bagi menilai kewajaran pengiktirafan UEC ke program-program universiti kerajaan tetapi laporannya masih belum dibentang kepada umum. Apakah keputusan kerajaan ini mendahului laporan jawatankuasa ini atau memang sudah diluluskan secara senyap-senyap? Rakyat ingin tahu.
Tatkala kemelut penularan COVID-19 sedang memuncak, berita UEC ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Apakah kerajaan masih tidak pelajari punca-punca perpecahan kaum di negara ini? Sistem pendidikan subversif ini adalah antara punca terbesar, adakah kerajaan masih tidak sedar atau hanya menutup sebelah mata?
Selama ini, pelbagai usaha berbentuk laporan, wacana, himpunan dan serahan memorandum telah dibuat oleh pelbagai NGO dan tokoh, termasuk NGO dan tokoh dalam bidang pendidikan bagi membantah pengiktirafan UEC. Adakah kerajaan langsung tidak ambil perhatian? Adakah ada faktor-faktor politik iaitu takut hilang undi masyarakat cina?
Selagi kerajaan tidak bertindak tegas dalam isu ini, maka selagi itu negara akan berhadapan dengan perpecahan masyarakat yang dahsyat dan berpanjangan.
Saya sangat berharap agar kerajaan menyatakan prinsip dengan jelas dan tegas terhadap UEC ini. Jangan bermain-main dengan perasaan rakyat yang majoritinya menolak UEC ini.
Hj Aminuddin Bin Hj Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
19 Mac 2020
Posted by Institut Pendidikan Guru KPM -Rasmi on Selasa, 17 Mac 2020