KUALA LUMPUR, 20 Mei – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat menegaskan bahawa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mesti dinoktahkan kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta menjadi ancaman kepada agenda pembinaan negara di Malaysia.


Menurut beliau, sistem pendidikan negara tidak boleh dilihat hanya dari sudut akademik dan peluang pekerjaan semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai instrumen penting dalam membentuk identiti nasional dan kesetiaan kepada negara.
“Pendidikan negara mesti membentuk warganegara yang dibangunkan dengan asas bahasa yang sama, pengalaman pendidikan yang sama, naratif sejarah yang sama dan juga kerangka identiti nasional yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat dan sidang media NGO Melayu dan Islam berkaitan isu UEC yang dipengerusikan oleh Mohd Zai Mustafa selaku Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah pelbagai tokoh dan wakil NGO Melayu-Islam serta Awang Hashim, Pengerusi Lujnah Hubungan NGO dan Seranta, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat.
Dalam kenyataannya, Presiden ISMA turut mengingatkan bahawa pendidikan mempunyai peranan besar dalam menanam nilai kesetiaan kepada negara dan tidak wajar dikompromi demi kepentingan politik jangka pendek.
“Pendidikan amat penting dalam menanam nilai kesetiaan kepada negara. Jangan lihat hanya dalam hal akademik dan peluang pekerjaan semata-mata. Jangan gadaikan pendidikan untuk undi dan laba politik,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar Dasar Pendidikan Kebangsaan terus dipertahankan sebagai asas utama dalam membina perpaduan, identiti nasional dan masa depan negara yang berdaulat.


