Ketika meneliti ayat 26 surah al-Baqarah, fikiran saya terbawa kepada isu penularan virus Covid-19. Dalam ayat tersebut, Allah S.W.T berfirman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا ۚ فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۖ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا ۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الْفَاسِقِينَ
“Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahwa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: “Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?”. Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.
Ayat ini adalah lanjutan daripada ayat-ayat sebelumnya yang menempelak sikap orang kafir yang menolak perkara yang disebut dalam al-Quran dan Allah mencabar mereka untuk mencipta kitab yang seakan al-Quran. Hakikatnya, sudah pasti mereka tidak akan mampu menandingi kehebatan al-Quran.
Apabila kaum musyrikin tidak dapat menandingi kehebatan al-Quran, mereka mula mengejek-ejek dan menghina al-Quran dengan mengatakan bahawa al-Quran hanya menceritakan perkara yang remeh-temeh seperti haiwan nyamuk, labah-labah, semut dan sebagainya.
Lantaran itu, ayat tersebut menjelaskan tentang Allah tidak malu memberi perumpamaan kehebatan Allah yang mampu mencipta segala makhluk yang ada di muka bumi walaupun seekor nyamuk bahkan benda yang lebih kecil daripada itu seperti virus Covid-19.
Dengan kehadiran nyamuk sekecil itu pun manusia boleh menderita penyakit seperti demam denggi, apatah lagi dengan virus yang hanya berukuran mikro itu berkemampuan membunuh puluhan ribu nyawa manusia seluruh dunia pada masa kini.
Sudah pasti bagi orang yang beriman, mereka yakin dengan ciptaan Allah itu dan reda dengan ketetapan yang Allah telah tentukan. Oleh itu, Allah akan menganugerahkan kepada mereka hidayah dan petunjuk dengan keimanan mereka terhadap segala yang telah ditakdirkan oleh Allah. Jika Allah mentakdirkan seluruh negara di dunia dijangkiti virus Covid-19 walaupun setelah pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan, maka manusia tidak dapat menghalangnya.
Tetapi bagi orang kafir, mereka akan terpinga-pinga dan hendak mengetahui hikmah yang cuba disampaikan oleh Allah kepada mereka. Mereka akan berada dalam kesesatan selama-lamanya kerana tidak kembali kepada segala panduan dan arahan Allah dalam al-Quran. Dengan keadaan yang tidak terkawal akibat virus ini, mereka akan hanya bergantung kepada bantuan teknologi semata untuk mengekang penularan serta rawatan penyakit. Mereka tidak mengetahui bahawa sehebat mana pun teknologi ciptaan manusia, sebenarnya masih tidak boleh menandingi kehebatan dan kekuasaan Allah S.W.T.
Justeru, sebagai orang yang beriman, kita perlu kembali kepada Allah dan meyakini bahawa segala yang berlaku adalah di bawah kuasa Allah. Sedarlah, Allah sedang menegur kita. Teruskan berdoa agar Allah mengangkat wabak penyakit ini jauh daripada kita semua.
Oleh Abu Ammar
Setiausaha ISMA Seberang Perai Utara