Wanita Isma mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Rina binti Mohd Harun sebagai Menteri Wanita dan Keluarga dan YB Dato’ Hajah Siti Zailah Binti Mohd Yusoff sebagai Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga. Wanita Isma berharap agar YB terus memartabatkan wanita di Malaysia sehingga menjadi kayu ukur di mata dunia dari sudut profesional, akhlak, akademik dan sosial.
Wanita Isma juga berharap agar menteri dapat memperkukuhkan dasar-dasar yang dapat memperkasakan institusi wanita dan kekeluargaan. Antaranya mengambil berat tentang masalah kemiskinan yang memberi impak kepada pendidikan anak-anak, memberi fokus kepada kebajikan wanita seperti sistem sokongan untuk wanita berkerjaya dan seterusnya memperkasakan peranan wanita sebagai tunjang kekuatan negara melalui pemerkasaan golongan wanita dan dan memperkasakan usaha kestabilan keluarga.
Apa yang utama ialah menteri perlu mengambil kira agar polisi-polisi yang akan dibentuk tidak bercanggah dengan Islam dan tidak mengikut telunjuk golongan liberal.
Wanita Isma akan terus menyokong usaha-usaha ke arah memartabatkan wanita dan keluarga serta berharap pihak Kementerian Wanita dan Keluarga dapat merasai denyut nadi wanita di Malaysia yang mahukan agar hak, kehormatan dan kemuliaan wanita terus dipelihara.
Ustazah Suriani Sudi
Ketua Wanita Isma