Wanita, Perjuanganmu Masih Belum tamat

Tahun ini kita menyambut kemerdekaan yang ke 63. Ia adalah satu perjalanan yang panjang untuk dikekalkan.

Jika dilihat kepada perjuangan dan sumbangan wanita dalam kemerdekaan ia tidak harus dipandang sebelah mata. Sejarah telah menyaksikan bangsa ini bergadai nyawa sekian lama melawan musuh demi sebuah kedaulatan dan kemerdekaan.

Nama seperti Ibu Zain adalah antara tokoh wanita yang telah memberikan sumbangan yang tidak sedikit dalam kemerdekaan negara. Dalam usaha untuk menangkis dakyah komunis daripada menular di kalangan masyarakat,

Ibu Zain telah bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain dan meredah hutan seorang diri bagi menjayakan misi tersebut dan ternyata usaha beliau membuahkan hasil. Beliau berjaya menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut. Malah beliau mendaftarkan diri sebagai tentera sukarela pada zaman konfrontasi dengan komunis itu.

Selain dari itu, Ibu Zain turut membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh askar Jepun di samping menjalankan usaha bagi memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun.

Bagi memastikan usahanya lebih berkesan, beliau telah mempelajari Bahasa Jepun dan mampu menguasainya dalam tempoh sebulan sahaja. Tindakan Ibu Zain bertindak di belakang tabir ini jelas memberi sumbangan yang besar terhadap proses kemerdekaan negara.

Wanita dahulu berhadapan dengan musuh yang nyata. Jepun, Inggeris, Portugis dan Komunis. Iaitu zaman memperjuangkan kemerdekaan, kesusahan dan nasib malang yang menimpa. Mereka bersinsing lengan dan bermandi darah untuk mempertahankan keluarga, bangsa dan tanah air.

Semua itu menolak wanita untuk berjuang bersama-sama dengan kaum lelaki untuk mempertahankan negara. Perjuangan untuk kelangsungan hidup anak bangsa dengan aman tatkala itu adalah suatu keperluan yang sangat mendesak.

Persoalannya, adakah perjuangan wanita untuk mempertahankan negara telah tamat?

Zaman sekarang seolah-olahnya hampir seperti tiada apa-apa isu. Semuanya nampak bahagia. Makan cukup. Pakai cukup. Hampir tidak nampak keperluan untuk berjuang. Benarkah begitu?

Hakikatnya musuh sentiasa berusaha untuk menjatuhkan kita. Mereka tidak akan senang untuk membiarkan kita terus ‘merdeka’ tanpa mengikut mereka walaupun sedikit. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 120 ada menyebut;

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).

Antara cabaran wanita masakini adalah cabaran pemikiran dan jati diri.

Cabaran pemikiran ini sangat halus. Ia umpama musuh yang tidak nyata. Ramai yang tidak menyedarinya. Pemikiranlah yang membentuk peribadi seseorang. Ia umpama raja. Baik pemikiran baiklah penampilannya.

Wanita yang merdeka adalah wanita yang membentuk diri mengikut acuan tersendiri tanpa terikut pemikiran dan budaya hidup asing dan jahiliyyah.

Kita orang Melayu Islam. Minda perlu Melayu Islam. Jiwa perlu Melayu Islam. Hidup juga perlu Melayu Islam.
Wanita merdeka adalah yang punya kemuliaan diri.

Amat malang apabila kita menguar-uarkan kemerdekaan sedangkan seluruh aspek kehidupan seperti pemikiran, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan masih dikuasai idea Barat. Malah kehidupan jauh terpesong daripada kehidupan bangsa yang mulia kerana Islam.

Saban hari wanita diasak kanan dan kiri hingga terhakis identiti diri. Wanita dimomok-momokkan seperti tertindas, tidak diberikan hak, didiskriminasi dan dizalimi.

Suara-suara menuntut persamaan hak dengan lelaki dilaungkan di sana sini. Wanita juga dihidangkan dengan cara kehidupan mewah dan millenia dari Barat. Berhias dengan perhiasan yang melampau.

Berpakaian dengan pakaian yang menjolok mata. Semua ini merupakan serangan pemikiran terhadap wanita. Sekiranya hari-hari wanita dihidangkan dengan perkara sebegini, memang akan ada yang terpengaruh dan termakan dengannya.

Maka wanita perlu bebas dari pemikiran sedemikian. Kerana merdeka itu sendiri bermaksud bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.

Manusia yang merdeka juga adalah manusia bebas untuk menikmati kehidupan yang sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT. Maka merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan bangsa malah kita bebas dari penjajahan pemikiran dan kebudayaan.

Marilah kita bersama mengangkat maruah dan kedudukan wanita sepertimana Islam telah mengangkatnya. Walau dengan air mata darah, wanita perlu berjuang melepaskan diri dari cengkaman penjajahan ini sepertimana perjuangan wanita terdahulu dalam membebaskan negara. Sesungguhnya perjuangan wanita masih belum tamat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat