Wanita wajar mengambil kelebihan berpuasa di bulan Syaban

Oleh : Ustazah Jamiah Wahab

 

Ijah : Bilala PKP nak tamat ni?

Kiah : Sabarlah Ijah, kenapa ?

Ijah : Sejak berkurung di rumah ni,asyik makan aje, dah gemuk ni..

Kiah : Laa sapa suruh kau makan je keje..puasa la ..kan bulan Syaaban ni .

Ijah : Aah kan, betul jugak la Kiah.

Kenapalah ramai di kalangan kita yang begitu ‘skema’ dalam menghadapi situasi yang lain daripada biasa ini. Sepatutnya kita kena kreatif memanfaatkan situasi seperti ini untuk memperbanyakkan ibadah puasa lebih-lebih lagi di bulan Syaaban ini.

Usamah RA bertanya kenapa Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi, ia adalah bulan yang banyak dilupai oleh kebanyakan orang. Ia juga adalah bulan yang diangkat catatan amalan semua manusia, maka Aku suka catatan amalanku diangkat ke langit dalam keadaan Aku berpuasa.

Para wanita wajar mengambil peluang di bulan Syaaban dan fasa PKP ini untuk banyak berpuasa kerana:

1. Kerana ia adalah sunnah Nabi SAW.
2. Untuk mengqada’ puasa yang tertinggal di tahun-tahun sebelumnya.
3. Untuk meraih pahala berganda sekiranya bertepatan puasa pada hari Isnin dan Khamis maka dia akan mendapat dua pahala iaitu puasa Isnin, Khamis dan Syaaban. Sekiranya bertepatan pula dengan Hari Abyadh (putih) maka orang yang perpuasa akan mendapat tiga pahala iaitu puasa Isnin, Khamis, Hari Putih dan puasa Syaaban. Alangkah pemurahnya Allah SWT kepada hambaNya.
4. Menjaga kesihatan. Bayangkanlah tubuh kita dalam keadaan tiada pergerakan keluar seperti hari-hari bekerja sebelum ini, hanya berputar-putar di dalam rumah sahaja. Kemudian memasak makanan, makan, memasak dan makan. Dengan berpuasa kita telah menyelamatkan tubuh kita daripada binasa oleh penyakit disebabkan oleh makan tanpa henti.

Daripada Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda;

apabila telah melebihi separuh daripada bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa”

Maksud larangan di dalam hadis tersebut adalah melaksanakan puasa sunat bagi orang yang tidak
pernah berpuasa sebelum itu. Namun tidak menjadi halangan bagi orang yang melazimi puasa sunat sebelum itu seperti puasa Isnin, Khamis, Hari Putih dan puasa Syaaban untuk terus berpuasa selepas nisfu Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban

Nabi SAW telah menyebut dalam satu hadis:

“Allah SWT telah meninjau ke atas hambaNya pada malam nisfu Syaaban. Maka Allah akan mengampuni semua hambaNya kecuali orang yang mensyirikkan Allah (musyrik) atau orang belum berdamai (musyahin).”

Hidupkanlah malam nisfu Syaaban dengan solat, zikir dan tilawah demi meraih keampunan yang ditawarkan oleh Allah untuk semua manusia pada malam tersebut. Rugilah sesiapa yang tidak merebut peluang keemasan ini.

Jadilah orang yang cerdik memanfaatkan apa jua situasi demi keuntungan akhirat sepertimana licik dan bijaknya manusia untuk mengaut keuntungan duniawi mereka walaupun nyawa jadi taruhannya. Jadilah orang yang tamak, iaitu tamak pahala akhirat maka syurgalah balasannya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat