Wartawan Bantu Masyarakat Manifestasi Seruan Nabi saw – Naib Presiden

29 Mei yang lepas merupakan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, hari tersebut diwartakan bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. Tahniah diucapkan kepada semua pengamal media yang senantiasa komited menjalankan fungsi dan tugasan mereka. Pengamal media telah banyak menabur jasa kepada kita semua. Kehidupan terasa dekat, masyarakat semakin akrab dan dunia menjadi lebih prihatin melalui khabar berita yang disampaikan oleh mereka kepada kita semua.

Selain itu, mereka juga telah membantu kita untuk lebih memaknai apa yang telah disabdakan oleh baginda Nabi saw: “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam” (HR Ahmad). Ramai daripada kita bertambah cakna dengan isu semasa di seluruh negara.  Bantuan juga banyak diberikan apabila mengetahui perkhabaran mengenai kesusahan dan kesulitan masyarakat di dalam mahupun luar negera yang dipaparkan di dada akhbar dan televisyen.

Sehubungan dengan itu, saya sangat menyokong para wartawan atau pengamal media yang berusaha membawakan berita-berita berkualiti untuk bacaan masyarakat. Namun begitu, masih ada berita mahupun artikel yang sepatutnya tidak diterbitkan seperti gossip liar, cerita-cerita dalam kelambu, aib-aib peribadi yang tidak wajar dipertontonkan kepada umum. Saya percaya setiap wartawan mempunyai kualiti masing-masing dan tidak hanya mengejar publisiti murahan.

Terima kasih buat semua wartawan, hero yang tidak didendang!

Ustaz Muhammad Shahier Sa’min

Naib Presiden ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat