Mengulas isu ‘Di mana guru selepas waktu sekolah’, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Isma melihat tugas menjaga anak-anak murid ketika di waktu sekolah sememangnya telah menjadi sebahagian tugas hakiki guru.
Tetapi apabila melibatkan penjagaan anak-anak murid selepas waktu sekolah, ianya bukan lagi menjadi tanggungjawab guru-guru, tetapi itu adalah tugas para ibu bapa. Ini perkara pertama yang kita harus jelas.
Namun, kita faham bahawa tidak semua ibu bapa mampu untuk memantau anak-anak selepas waktu sekolah dek keterikatan mereka dengan waktu kerja tetapi perkara ini harus diurus dengan baik selagi mana si penjaga faham akan tanggungjawab masing-masing.
Dengan syarat, tanggungjawab ini harus di pikul bersama-sama termasuk ibu bapa, guru-guru dan masyarakat.
Sebagai cadangan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menggaji pekerja di kalangan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak selepas waktu sekolah.
Selain itu juga, kami yakin dalam kalangan ibu bapa pasti akan ada kelompok yang sangat prihatin tentang keselamatan anak-anak selepas waktu sekolah, oleh itu mereka boleh menawarkan khidmat sukarelawan untuk membantu pihak sekolah untuk menjadi ‘pengawas’ di luar kawasan sekolah sehingga anak-anak balik ke rumah atau naik kenderaan.
Persatuan penduduk juga boleh ambil peranan untuk mengawasi pergerakan anak-anak sekolah ini sementelah kebanyakan sekolah berada dalam kawasan komuniti.
Cadangan lain adalah untuk memperkasakan peranan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) bagi memberi bantuan dalam kes sebegini, kerana guru telah diberi pelbagai tugas akademik dan bukan akademi. Oleh itu, tidak adil untuk membebankan semua tanggungjawab di pundak guru-guru.
Bagi pihak sekolah yang membuat giliran guru yang bertugas sejam selepas waktu sekolah bagi memantau pergerakan anak-anak murid, inisiatif ini perlu diberi penghargaan.
Sungguh pun begitu, ibu bapa jangan ambil mudah dengan kebaikan guru-guru tetapi perlu mengatur masa dan tanggungjawab mengambil anak-anak tepat pada waktunya.
Kesimpulannya, ibu bapa harus mengambil pendekatan untuk membentuk kerjasama antara guru dan komuniti bagi menjaga keselamatan anak-anak selepas waktu sekolah dan seterusnya tidak menunding jari kepada mana-mana pihak dalam urusan anak-anak sendiri.
Ustazah Zakiah Abdul Rahman
Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat Isma