Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini telah merakamkan pahit getir usaha pejuang-pejuang terdahulu. Namun setelah 63 tahun, adakah kita benar-benar merdeka? Adakah kemerdekaan itu diukur sekadar keluarnya penjajah dari tanah air ini?
Sebelum campur tangan penjajah, Tanah Melayu sudah mencapai ketamadunan yang unggul di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Semasa zaman emas ini, tamadun kita mempunyai bahasa dan budaya sendiri serta berteknologi tinggi. Malah, sistem undang-undang Melaka dahulu diguna pakai oleh pelbagai bangsa dan pemerintahan yang berasaskan Islam.
Namun, kehadiran penjajah telah mengubah segala kejayaan yang dikecapi dalam era Kesultanan Melayu Melaka sehingga menjadi bangsa yang merempat di tanah sendiri.
Walaupun telah beroleh kemerdekaan setelah dijajah beratus tahun, tetapi negara kita tidak kembali semula kepada asal seperti sebelum era kolonialisme. Penjajah telah berjaya mengubah hampir seluruh kehidupan bangsa Melayu sehingga hilang jati diri.
Hingga kini, negara kita sakan-akan lumpuh tidak mampu bangun sendiri kerana seolah-olah masih lagi terikat dalam aspek ekonomi, budaya dan sistem yang berpandukan Barat. Malah, kuasa Sultan yang mutlak bertukar kepada raja berpelembagaan dan bercorakkan sistem pemerintahan demokrasi.
Melihat senario politik hari ini yang terumbang-ambing dan berpecah-belah dengan wujudnya lagi parti-parti baru demi mendapatkan kuasa, membuatkan rakyat merasa pelik dan dangkal. Apa lagi yang politikus mahukan sedangkan kuasa sebelum ini sudah diberikan? Sikap melompat parti oleh kebanyakan politikus seolah-olah tiada agenda untuk watan dan mahu menyelamatkan periuk nasi sendiri.
Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata, “suatu negeri akan hancur meskipun ia makmur.” Sahabat lain bertanya, “bagaimana suatu negeri hancur sedangkan ia makmur?” Umar menjawab, ”Apabila orang yang jahat menjadi pemimpin dan menguasai orang yang baik.”
Jangan biarkan masa depan negara kita terlepas di tangan yang rakus, pengkianat dan penipu. Kita perlu menyelamatkan negara daripada dasar yang salah kalau benar kita mahu sebuah negara yang merdeka.
Kepimpinan politik yang menerajui sesebuah parti politik perkauman masa kini harus bijak bukan sahaja berpolitik tetapi mesti juga celik dan menghayati tentang sejarah Malaysia. Dengan ini mereka boleh mengambil ikhtibar daripada sejarah negara yang pernah berlaku agar kesilapan dapat dijadikan sempadan sementara kejayaan dan keharmonian boleh dijadikan teladan.
Melihat dari penguasaan ekonomi pula boleh dikatakan berat sebelah dengan hanya dikuasai oleh satu bangsa. Mereka yang kaya terus selesa dan mahu mengejar keuntungan sedangkan yang miskin dan “cukup-cukup makan” masih mengharapkan bantuan. Kemudian, apabila ada pihak yang melaungkan kempen “Buy Muslim First” dianggap satu tindakan rasis sedangkan ia adalah usaha untuk membantu usahawan Muslim bukannya memboikot produk lain. Peniaga Melayu yang ditindas pula dipersalahkan dan kebenaran memberitahu rupanya wujud rasuah di kalangan pihak berkuasa.
Dari segi sosial pula, kehidupan anak muda yang bersikap hedonisme, mengikut trend dan sikap tidak ambil peduli telah merosakkan masa depan mereka. Situasi ini sangat membimbangkan kerana bukan sahaja melibatkan anak muda golongan pertengahan, malah timbul kes cucu tokoh politik yang melanggar SOP telah ditangkap di dalam pub dengan keadaan yang sangat memalukan dan menyedihkan. Sedangkan berhibur di pub dan kelab malam bukan budaya dan kehidupan asal kita.
Sistem pendidikan menjadi teras yang penting dalam pendidikan anak-anak. Namun, mereka yang cuba mencetuskan perpecahan kaum melalui sekolah vernakular pula diiktiraf sedangkan lebih baik dijadikan sekolah satu aliran supaya perpaduan lebih terjalin antara pelbagai kaum. Malah, tulisan jawi yang merupakan tulisan warisan menggambarkan identiti teras negara Islam, Melayu dan kedaulatan raja dicabar sehingga berani menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan raya.
Usaha untuk mengembalikan identiti negara ini juga turut dicabar oleh sesetengah pihak seolah-olah geli dengan sejarah tanah ini apabila cadangan untuk mengembalikan semula nama Bukit St Paul kepada nama asalnya Bukit Melaka telah ditentang. Sehingga kini, perkara kecil itu tidak mampu diubah. Di Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan berjaya membawa semula identiti Islam dengan mengembalikan peranan Aya Sofia sebagai masjid walaupun ditentang hebat oleh Amerika Syarikat, Rusia dan badan-badan antarabangsa.
Situasi yang membimbangkan ini perlu segera diubah dan diambil tindakan sebelum terus melarat menjadi negara yang busuk dengan dosa dan ketidakadilan. Kita sepatutnya mengambil pengajaran dari al-Quran melalui kisah kaum di negeri Saba’ yang dilanda banjir besar disebabkan enggan bersyukur kepada Allah dan melanggar arahanNya sedangkan telah mendapat kemakmuran dan nikmat yang besar dikurniakan Allah.
Imam Hasan Al-Banna ada memberitahu, “jika kemerdekaan negara diletakkan sebagai matlamat utama dengan berusaha memajukan negara ini hanya ditumpukan dalam aspek kebendaan, maka samalah seperti yang dilakukan oleh masyarakat Eropah sekarang.
“Berbeza dengan tuntutan Islam bahawa kita memikul suatu amanah dan dengan itu kita mengorbankan harta, darah dan nyawa dalam usaha melaksanakan amanah iaitu memimpin manusia dengan cahaya Islam dan mengibarkan panji Islam ke seluruh pelusuk bumi. Kerja ini dilakukan tanpa mengharapkan harta, pangkat, kuasa dan bukan berhasrat menguasai mana-mana bangsa.”
Kemerdekaan bukan sekadar sambutan meraikan pembebasan daripada kuasa penjajah tetapi lebih mendasari kepada kewatanan negara dan pemikiran bebas daripada ideologi asing dan bebas dari cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam.
Rakyat Malaysia perlu faham sudut pandang yang sebenar tentang kemerdekaan dan berusaha mempertahankan negara ini dari terus “dijajah” oleh anasir yang cuba memporak-perandakan negara kita. Jati diri dan identiti bangsa perlu dikembalikan untuk menjadi sebuah negara yang berdaulat.
Yusre Zulhamize Zainuddin
ISMA Bangi
*Artikel berikut telah disiarkan di Berita Harian, 31 Ogos 2020