Korban atau pengorbanan adalah suatu unsur penting dalam kehidupan seseorang Muslim bahkan ummah keseluruhannya. Betapa signifikannya ia hinggakan Allah SWT menyampaikan mesej pengorbanan ini melalui kisah korban yang dilaksanakan oleh Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.
Kisah ini walaupun ianya diulang-ulang ketika meraikan Aidiladha namun hakikatnya intipati dari kisah tersebut seharusnya sentiasa berada di minda dan tindakan kita sebagai Muslim dalam kehidupan seharian. Apakah Allah SWT rakamkan kisah dalam al-Quran ini hanya semata-mata untuk diulang-ulang ketika Aidiladha sahaja?
Allah SWT menyebut dalam Surah al-Hajj berkenaan korban sembelihan yang dilaksanakan, di mana daging dan darah haiwan sembelihan tersebut tidak sampai pada Allah tetapi yang sampai adalah taqwa:
﴿لَن یَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاۤؤُهَا وَلَـٰكِن یَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَ ٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِینَ﴾ [الحج ٣٧]
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya” (Al-Hajj:37)
Imam Syaukani dalam kitabnya Fathul Qadir menafsirkan ayat di atas bahawa tidak sampai redha Allah dan penerimaan ibadah korban itu dengan daging dan darah haiwan korban yang disembelih tersebut namun yang sampai padaNya adalah taqwa, keikhlasan dan iradah (keinginan) untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Itulah yang diterima oleh Allah SWT dan Dia akan mengganjari hambaNya.
Ini adalah makna yang penting apabila kita melaksanakan ibadah korban. Iaitu tidak mengharapkan manfaat duniawi yang merosakkan niat dan ikhlas kita, dan dalam masa yang sama berusaha untuk mencapai roh yang sebenar dari ibadah ini dengan menggapai taqwa, keikhlasan dan redha-Nya. Harus diingat bahawa ibadah korban tidak akan berjaya dengan hanya diri kita sendiri tetapi memerlukan sebuah komuniti dan masyarakat yang turut berkorban tenaga membantu menyembelih dan melapah haiwan korban sembelihan.
Setiap Muslim harus ambil pengajaran bagaimana untuk mengaplikasikan roh korban ini ke dalam penghayatan kehidupan sesebuah ummah. Ummah yang hidup adalah ummah yang sentiasa melakukan pengorbanan hatta sekecil-kecil perkara demi kebaikan umat Islam. Ia pastinya bermula dari pengorbanan terhadap keluarga kemudian melimpah kepada komuniti yang akhirnya akan membentuk sebuah masyarakat Islam yang kuat, maju dan berdaulat.
Kita tidak akan berjaya mencapai kegemilangan umat terdahulu jika enggan memecahkan kotak individualistik iaitu kehidupan yang berlegar hanya pada ruang skop individu dan melupakan masyarakat sekeliling.
Lihatlah para saintis yang lahir dan penciptaan-penciptaan yang dirumuskan oleh para ilmuwan Islam sejak kegemilangan tamadun Islam terdahulu pastinya bertujuan untuk memanfaatkan masyarakat sekeliling bahkan ummah keseluruhannya. Hatta, masyarakat barat yang menguasai tamadun pada hari ini turut mencedok dan ‘mencuri’ ilmu-ilmu yang disajikan para ilmuwan Islam dahulukala namun dengan sengaja tidak memberi kredit pada mereka.
Bayangkan, ilmu atom yang menjadi teraju kepada dunia sains pada hari ini hanyalah beberapa peratusan kecil sahaja dari keseluruhan ilmu yang terdapat di perpustakaan Baghdad pada zaman khilafah Abbasiah. Ini membuktikan bahawa terlalu banyak dan besar manfaat pada umat Islam bahkan manusia seluruhnya hasil dari sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan oleh para ulama, ilmuwan, saintis, tabib, dan sebagainya. Benarlah hadith Nabi SAW:
خير الناس أنفعهم للناس
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia” (Riwayat Ahmad)
Hari ini kita meraikan Aidiladha, dan kita telahpun menyelusuri mesej pengorbanan yang disampaikan Allah SWT dalam Al-Quran, maka carilah ruang-ruang untuk kita melaksanakan pengorbanan setakat yang terdaya bagi manfaat pada komuniti dan masyarakat. Korbankan masa, ruang dan tenaga untuk memberi sesuatu kebaikan kepada mereka yang di sekeliling.
Ambillah pelajaran dari masyarakat di Gaza di mana kekuatan rakyatnya bermula dari komuniti kecil seperti komuniti surau, masjid, persatuan penduduk dan sebagainya akhirnya menatijahkan keseluruhan masyarakat Gaza yang berpegang teguh kepada kebenaran tidak gentar kepada ancaman musuh. Semuanya bermula dari sebuah pengorbanan, dari sekujur badan yang tidak sempurna, namun bercita-cita untuk melakukan yang terbaik buat ummah.
Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi
Ketua Biro Dakwah ISMA


