Pengorbanan Wanita Dalam Membangun Peradaban Islam

Wanita mempunyai peranan yang sangat signifikan dalam membangunkan peradaban Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa wanita bukan hanya menjadi pendukung kepada perjuangan Islam, bahkan mereka juga menjadi tulang belakang kepada pembangunan generasi qawwam pemimpin ummah.

Dalam sesebuah keluarga pula wanita bukan sekadar penghuni dalam rumah tangga, bahkan mereka adalah nadi utama yang mencorak hala tuju sesebuah keluarga.

Dalam Islam, rumah tangga dianggap sebagai madrasah pertama dan terpenting dalam membentuk peribadi generasi pemimpin ummah masa depan, dan wanita, sebagai isteri dan ibu memainkan peranan yang sangat besar dalam institusi keluarga.

Namun begitu, semua peranan ini tidak akan terlaksana tanpa pengorbanan. Ia menuntut kesungguhan, keikhlasan, dan kekuatan dalaman yang tinggi seorang wanita dalam membangun peradaban Islam yang kita harapkan pada masa hadapan.

Pengorbanan Diri dan Kehidupan Peribadi

Wanita yang sedar akan tujuan penciptaan dirinya oleh Allah SWT akan ingin sedia untuk menyumbang tenaga dalam perjuangan membangunkan peradaban. Perjuangan memerlukan kesediaan diri mengorbankan keselesaan hidup, masa, tenaga, dan kadangkala kepentingan peribadi demi kepentingan agama.

Saidatina Khadijah r.a., Ummul Mukminin isteri Baginda Rasulullah SAW, merupakan contoh seorang wanita yang telah mengorbankan seluruh hartanya demi menyokong dakwah yang dibawa Baginda SAW. Saidatina Khadijah r.a tidak berkira dalam memberi bantuan, dan kesetiaannya kepada suami, menjadi tempat Rasulullah merasa tenteram sehingga menjadi inspirasi kepada semua wanita Muslim hingga ke hari ini.

Khadijah r.a. adalah seorang usahawan wanita yang sangat kaya dan berjaya di Mekah.

Namun, selepas memeluk Islam dan menyokong kenabian Rasulullah SAW, beliau menginfakkan seluruh hartanya demi kelangsungan dakwah Baginda.

Sehingga Rasulullah SAW bersabda:

“Dia (Khadijah) beriman kepadaku ketika orang lain ingkar. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia membantuku dengan hartanya ketika orang lain menahan tangannya…”

(Riwayat Ahmad, Hakim dan Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad)

Begitulah manifestasi iman Saidatina Khadijah dalam perjuangan. Sebagai wanita bangsawan Quraisy yang disegani, Saidatina Khadijah r.a berani mengorbankan status dan reputasinya untuk menyokong seorang lelaki yang dituduh gila dan penyihir oleh kaumnya.

Saidatina Khadijah r.a sanggup dicemuh, dipinggirkan oleh masyarakat bangsawan Mekah, namun tetap tegar menyokong dakwah Rasulullah SAW.

Tidak hairanlah ganjaran Syurga yang telah Allah berikan buat Saidatina Khadijah. Seperti Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…

(Surah At-Taubah, 9:111)

Pengorbanan Menjaga Maruah dan Berpegang pada Syariat Allah SWT

Dalam arus dunia moden yang semakin mencabar, wanita Muslimah berdepan dengan pelbagai dugaan dan godaan yang menguji kekuatan iman serta prinsip hidup mereka.

Di tengah-tengah kekalutan nilai hidup yang semakin longgar, wanita Islam dituntut untuk berpegang teguh kepada ajaran agama dan mempertahankan maruah diri. Pengorbanan yang dilakukan bukan sahaja mencerminkan ketaatan kepada Allah SWT, tetapi juga menjadi lambang kekuatan dan kemuliaan wanita dalam Islam.

Islam memuliakan wanita dengan meletakkan maruah mereka di tempat yang tinggi.

Menjaga maruah bukan sekadar menjaga penampilan zahir semata-mata, tetapi meliputi keseluruhan akhlak, pergaulan, pertuturan dan perlakuan harian.

Maruah adalah lambang kehormatan diri seorang wanita, dan sekali ia tercalar, sukar untuk diperbaiki.

Sebagai bukti Islam telah meletakkan wanita itu ditempatkan yang tinggi, Allah mengarahkan agar wanita menutup aurat, sebagaimana Firman Allah SWT:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali dan tidak diganggu…”

(Surah Al-Ahzab, 33:59)

Menjaga aurat merupakan salah satu bentuk pengorbanan wanita dalam menegakkan syariat.

Di samping itu seorang wanita mesti menjaga batas pergaulan, menjaga adab dan tutur kata terutamanya apabila berinteraksi dengan bukan mahram, mengawal diri daripada menjadi mangsa atau pencetus fitnah termasuk di media sosial, memelihara kesucian diri daripada sebarang kerosakkan serta menolak budaya yang bertentangan dengan Islam memerlukan pengorbanan, kekuatan jiwa dan prinsip yang teguh.

Antara contoh pengorbanan ini termasuk wanita yang menolak peluang kerjaya yang memerlukan pendedahan aurat atau pergaulan bebas, walaupun ditawarkan ganjaran lumayan demi mengikut kehendak agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syariat.

Ada yang terpaksa mengorbankan keinginan untuk berfesyen secara bebas, terpaksa menolak pelawaan untuk bersosial secara terbuka, atau menghadapi tekanan daripada rakan sebaya dan masyarakat. Namun, pengorbanan itu tidak sia-sia.

Firman Allah SWT :

“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar, dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya…”

(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Pengorbanan wanita muslim dalam menjaga maruah dan mematuhi syariat Allah SWT bukanlah satu bentuk kelemahan atau keterbelakangan, sebaliknya satu tanda kekuatan dan kebijaksanaan.

Dalam dunia yang semakin jauh daripada nilai-nilai Islam, wanita yang teguh pada prinsip agama adalah perhiasan dunia yang paling indah. Sabda Rasulullah SAW:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Pengorbanan Dalam Keluarga dan Pendidikan Anak

Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang sangat mulia dalam keluarga.

Sebagai isteri, wanita berperanan mencipta ketenangan dan kebahagiaan rumah tangga.

Sebagai ibu, wanita memikul tanggungjawab besar dalam membentuk generasi dan mendidik anak-anak. Manakala, wanita sebagai isteri merupakan pakaian pada seorang suami, dan suami juga merupakan pakaian pada seorang isteri, sebagaimana Firman Allah SWT:

“Wanita-wanita itu adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka…”

(Surah al-Baqarah: 187)

Ini menunjukkan hubungan antara suami isteri adalah saling melengkapi, menjaga, dan menenangkan. Mewujudkan ketenangan, kasih sayang dan keharmonian dalam keluarga merupakan salah satu peranan seorang wanita. Seperti Firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah ar-Rum: 21)

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Sebaik-baik wanita adalah yang apabila engkau memandangnya, ia menyenangkanmu; apabila engkau menyuruhnya, ia mentaatimu; dan apabila engkau tidak berada di sisinya, ia menjaga diri dan hartamu.”

(Riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Wanita sebagai ibu pula memiliki peranan yang sangat besar dalam mendidik anak-anak dengan nilai Islam, menyokong suami dalam perjuangan dakwah, serta menjadi contoh teladan dalam rumah tangga merupakan bentuk pengorbanan yang berterusan.

Peranan yang paling asas seorang ibu adalah menanamkan rasa cinta dan kasih serta taat pada Allah SWT di samping menerapkan norma-norma luhur dan budi pekerti mulia dalam diri mereka.

Anak-anak hendaklah dididik dengan penuh kasih sayang dan menumpukan segenap perhatiannya dalam mendidik anak-anaknya untuk menjadi seorang yang hebat memimpin umat pada masa hadapan. Firman Allah SWT:

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah dalam melakukannya…”

(Surah Taha, 20:132)

Ummu Sulaim adalah satu contoh ibu yang mendidik anaknya, Anas bin Malik sejak kecil sehingga menjadi hamba Allah yang taat.

Anas bin Malik akhirnya menjadi pembantu setia Rasulullah SAW dan meriwayatkan banyak hadis serta menjadi tokoh dalam perkembangan ilmu-ilmu Islam.

Begitu juga dengan Saidatina Khadijah r.a yang telah mendidik dan membesarkan anak-anak Rasulullah SAW, termasuk Saidatina Fatimah Az-Zahra r.a., yang kemudian menjadi wanita termulia di syurga dan ibu kepada cucu-cucu Rasulullah, Hasan dan Husain.

Manakala kisah pengorbanan Siti Hajar adalah simbol ketaatan dan keimanan seorang ibu.

Ketika ditinggalkan di padang pasir yang tandus bersama bayi kecilnya, beliau tidak mengeluh.

Sebaliknya, Siti Hajar berlari antara Safa dan Marwah mencari air untuk anaknya Nabi Ismail yang kemudiannya diabadikan dalam ibadah Saie ketika melaksanakan haji dan umrah.

Nabi Ismail a.s. pula membesar dengan jiwa yang patuh dan sabar, menjadi pendamping ayahandanya Nabi Ibrahim a.s dalam pembinaan Kaabah dan menyerahkan dirinya untuk disembelih atas perintah Allah.

Asma’ binti Abu Bakar pula bukan hanya wanita yang tabah, tetapi juga seorang ibu pejuang. Asma’ menyokong perjuangan anaknya, Abdullah bin Zubair, dalam menegakkan kebenaran menentang pemerintahan yang zalim.

Antara kata-katanya kepada Abdullah ketika bertanya pada ibunya apakah yang perlu dilakukan dalam menghadapi tentera Hajjaj.

“Wahai anakku, jika engkau yakin berada di atas kebenaran, maka bersabarlah. Mati itu lebih mulia daripada hidup dalam kehinaan.” Akhirnya Abdullah syahid dalam mempertahankan prinsip Islam.

Al-Khansa’ bukan hanya seorang penyair wanita terkenal, tetapi juga ibu kepada empat mujahid yang syahid dalam perang Qadisiyyah.

Pesanan Khansa’ pada anak-anaknya sebelum perang: “Jika kamu syahid, maka kamu akan bertemu Allah dengan kemuliaan. Jika kamu mundur, kamu akan hina  di dunia dan akhirat.”

Akhirnya keempat-empat anaknya gugur syahid, dan beliau menyambut berita itu dengan rasa bangga dan penuh redha.

Ibu Imam Syafie, seorang ibu tunggal, walaupun hidup dalam keadaan kemiskinan, beliau sangat tegas dalam soal pendidikan.

Beliau berpindah ke Mekah demi membolehkan anaknya belajar dengan para ulama. Hasil didikannya, Imam Syafie menjadi salah seorang imam mazhab terbesar dalam dunia Islam, dikenang kerana keluasan ilmunya, kefasihan lisannya dan kekuatan hujahnya.

Huma Hatun yang merupakan ibu Sultan Muhammad al-Fatih telah membesarkan anaknya dengan semangat jihad. Beliau sering menyebut sabda Nabi tentang penaklukan Kota Konstantinopel, dan membekalkan anaknya dengan ilmu, tarbiah ruhani dan disiplin tinggi.

Pada usia 21 tahun, Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menakluk kota Konstantinopel, menepati janji Rasulullah SAW.

Pengorbanan dalam mencari ilmu dan dan melaksanakan dakwah

Sejak zaman Rasulullah SAW hingga hari ini telah menyaksikan peranan luar biasa wanita dalam menuntut ilmu dan menyampaikan risalah dakwah.

Walaupun berdepan cabaran fizikal, sosial, bahkan tekanan budaya dan politik, ramai wanita bangkit menunjukkan bahawa mereka bukan hanya pendengar, tetapi pemikul risalah kebenaran.

Dalam menjalankan tanggungjawab yang telah Allah amanahkan baik sebagai seorang hamba Allah, isteri, ibu, daie mahupun anggota masyarakat, di sana perlunya wanita itu mempunyai ilmu.

Mendalami ilmu menuntut kepada banyak pengorbanan, pengorbanan masa rehat, wang ringgit dan tenaga.

Saidatina Aisyah r.a. merupakan antara wanita terawal yang menjadi rujukan ilmuwan Islam, khususnya dalam bidang hadis dan fiqah.

Ilmu yang disebarkannya menjadi warisan agung buat umat hingga hari ini. Sabda

Rasulullah SAW bersabda :

“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim (lelaki dan perempuan).”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Contoh wanita kontemporari seperti Zainab al-Ghazali, seorang aktivis dakwah Mesir menunjukkan contoh seorang wanita mampu menyebarkan risalah Islam walaupun diseksa, dipenjarakan, dan ditekan rejim zalim.

Dakwah bukan milik lelaki sahaja. Wanita dalam Islam memiliki hak dan peranan dalam menyampaikan ilmu dan kebenaran. Sama ada dengan lidah, tulisan, teladan peribadi atau pendidikan dalam rumah tangga, mereka adalah pembentuk umat.

Wanita solehah bukan hanya membina syurga dalam rumahtangga, tetapi turut membuka jalan ke syurga bagi masyarakatnya.

Setiap pengorbanan adalah ibadah

Kejayaan para ummahat dalam melahirkan pejuang agama tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada keimanan yang mendalam, ilmu yang benar, sedar akan tanggungjawab dan berjiwa besar serta pengorbanan tanpa syarat.

Hari ini, dunia sangat memerlukan ibu-ibu yang sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pencetak generasi mujahid. Mendidik anak bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi membina jiwa mereka agar cinta kepada Allah dan sanggup berjuang demi agama.

Setiap pengorbanan yang dilakukan oleh wanita dalam menegakkan syariat Allah SWT adalah satu bentuk ibadah yang besar ganjarannya. Sama ada sebagai ibu, isteri, pendakwah, atau pelajar, semua bentuk peranan ini menyumbang kepada pembangunan ummah yang berlandaskan Islam.

Firman Allah SWT :

“Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapati di bumi ini tempat hijrah yang banyak dan rezeki yang luas. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian maut menimpanya, maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah…”

(Surah An-Nisa, 4:100)

Semoga wanita-wanita Islam masa kini terus sedia untuk berkorban menuntut ilmu dalam melaksanakan tanggungjawab dan istiqamah dalam perjuangan mereka. Moga kita semua diberikan kekuatan untuk terus menjadi pejuang syariat yang mulia di sisi Allah SWT.

Wallahu a‘lam.

Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita ISMA

Scroll to Top