BANGI, 26 Zulkaedah 1440H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana menyambut baik pendirian UMNO menolak kerjasama dengan parti tamak haloba, DAP sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu parti itu menyertai gabungan berkenaan.
Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, pendirian UMNO untuk tidak menerima DAP sebagai rakan politik adalah selari dengan kehendak syariat Islam dan kepentingan umat.
“Isma sokong keputusan UMNO tidak menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan PH selagi DAP menjadi rakan kongsi politik PH.
“Membawa DAP menguasai politik negara adalah satu dosa, dan bakal menghancurkan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya meletakkan tiga syarat kepada PH sekiranya mahu parti itu menyertai gabungan yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, tiga syarat berkenaan adalah menolak DAP sebagai rakan politik, selain membawa PAS bersama dalam gabungan itu serta tidak membubarkan UMNO.
“Saya didatangi orang Dr Mahathir baru-baru ini dan saya sebutkan tiga syarat ini sebagai pendirian parti jika mahu jalin kerjasama.
“UMNO tidak akan sesekali tinggalkan PAS yang kini menjadi rakan politik parti dan jangan lagi minta orang UMNO sertai Bersatu dan akhirnya mahu bubarkan UMNO,” katanya.
Mengulas lanjut, Ustaz Abdullah berharap keputusan yang diputuskan bukan sekadar pendirian politik tetapi untuk ummah, dan pimpinan UMNO perlu maklum hal berkenaan.
“Jika keadaan ini tidak diubah segera negara akan berhadapan krisis besar yang tidak tertanggung oleh negara dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/07/29/umno-tolak-dap-jadi-rakan-politik-selari-syariat-islam-isma/