Bakul Kasih Ramadan beri bantuan kepada golongan setinggan di Sandakan

  

SANDAKAN, 14 Mei- “Alhamdulillah, berkat sumbangan dan bantuan daripada orang ramai, kami dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang”, ujar Endi Bin Hatta, Ketua Pemuda Isma Sandakan. 

Penyerahan bantuan barang  asas kepada hampir 500 buah keluarga yang terletak di Kampung Bakkau, Kampung Forest dan Rumah Setinggan Astana Height dan Taman Mutiara telah diagihkan oleh Pemuda ISMA Sandakan pada 3 dan 10 Mei yang lalu.

Antara barang yang disumbangkan termasuklah beras, biskut, susu bayi, kurma, minyak masak, tepung, gula dan telur.

Sumbangan pertama diserahkan kepada penduduk Kampung Bakkau yang merupakan perkampungan setinggan yang terletak di Batu 3 Sandakan.

Penduduk di sini tinggal di dalam hutan bakau itu sendiri dan keadaan rumah-rumah memang sangat usang. Kebanyakan penduduk bertaraf bukan warganegara dan tidak memiliki kad pengenalan.

Ketika pembahagian sumbangan, dapat dilihat keadaan keluarga di sana di dalam kategori miskin tegar. Ramai yang terjejas pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

Salah seorang penduduk berkata bahawa mereka belum pernah lagi mendapat bantuan dari mana-mana pihak dan inilah kali pertama bantuan sampai kepada mereka. Keadaan penduduk di sini sangat menginsafkan setiap yang hadir.

“Mereka nampak sangat gembira apabila diberikan sumbangan tersebut. Kita faham, tidak semua orang bernasib baik. Oleh itu, kita berusaha untuk sampaikan bantuan kepada golongan yang betul-betul memerlukan”, kata M. Nur Bin Selamit yang juga merupakan Yang Dipertua ISMA Sandakan.

Sumbangan kali kedua pula telah diberikan pada 10 Mei yang lalu kepada beberapa buah kampung setinggan.

Bagi sesi bantuan kali kedua, Pemuda ISMA Sandakan bekerjasama dengan beberapa NGO lain seperti Yayasan Ikhlas (YI), Unit Amal PAS, Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Majlis Guru Besar.

“Penduduk di sini berada di tahap miskin tegar dan jika kita amati kefahaman agama dalam kalangan penduduk juga amatlah kurang. Kita lihat ada yang merokok dalam bulan puasa ini. Alangkah bagusnya kalau dapat dididik anak-anak mereka mengaji Al-Quran cumanya Isma Sandakan perlukan dana yang banyak untuk pembangunan rohani dan jasmani bagi penduduk di sini”, kata Ustaz Mahadir Amboala selaku Naib Yang Dipertua ISMA Sandakan yang turut sama hadir menyerahkan sumbangan.

Kutipan sumbangan dengan kerjasama Yayasan Ikhlas masih diteruskan lagi sehingga ke akhir Ramadhan. Diharapkan agar orang ramai teruskan memberi sumbangan bagi membantu lebih ramai orang yang memerlukan bantuan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat