ISMA Gombak mohon polis bertegas terhadap Xavier yang menghina Yang Dipertuan Agong

GOMBAK, 20 Mei 2020 – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Gombak menggesa polis mengambil tindakan terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar susulan kenyataan beliau melalui satu video yang tular di media sosial berhubung persidangan Parlimen pada Isnin, 18 Mei 2020 yang lalu.

Yang Dipertua ISMA Gombak, Haji Abdul Samad Ashaari menyifatkan, tuduhan yang dilemparkan Ahli Parlimen Kuala Langat itu sangat biadab.

“Kami kesal dengan kenyataan Xavier yang telah menyifatkan sesi Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai sampah dan tidak berguna.

“Kenyataan biadab ini dianggap sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong yang telah bertitah pada sidang kali ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, ISMA Gombak membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak mengenai hal berkenaan dan berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tuntas dan tegas terhadap bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Pakatan Harapan (PH) itu.

“Kami juga menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia yang cintakan negara, menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Raja-Raja untuk membuat laporan polis terhadap Xavier atas sebab yang sama,” kata Haji Samad.

Terdahulu, satu rakaman video tular memaparkan Xavier menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Sidang Dewan Rakyat mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-14 dengan menyifatkan ia sebagai ‘sampah’.

Menerusi rakaman selama hampir tiga minit itu, beliau berkata, Sidang Dewan Rakyat tersebut ‘tidak berguna’ kerana hanya dibenarkan berlangsung satu jam, sebelum semua Ahli Parlimen diarahkan pulang selepas mendengar titah Yang di-Pertuan Agong atas alasan pandemik COVID-19.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat