Apalah nak jadi dengan pemimpin-pemimpin bumiputera kita ini. Selepas memenangi pilihanraya di Sabah, mereka berfikir pula mengenai wakil Cina dalam kabinet negeri kerana tiada seorang pun calon berbangsa cina dari BN/PN yang menang bertanding untuk dijadikan menteri.
Dalam PRN Sabah baru-baru ini, pengundi Cina ‘solid’ mengundi DAP yang menggunakan logo parti Warisan sehingga semua calon MCA hilang deposit. Itu pun mereka gagal walaupun ada kerusi yang ditandingi adalah majoriti tipis pengundi Bumiputera dan menggunakan logo Barisan Nasional. Betapa kuatnya rakyat terutamanya masyarakat Cina menolak mereka di sana. Ini juga termasuk calon-calon Cina lain yang mewakili parti-parti kecil yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional.
Tetapi, melihat perkembangan yang berlaku, membuktikan bahawa orang Cina akan tetap mempunyai wakil dalam kabinet negeri walau siapa pun yang menang. Mereka akan meletakkan undi secara bersepadu kepada DAP dengan harapan GRS (BN/PN/PBS) tidak akan menjadi kerajaan. Pada masa yang sama, mereka tidak perlu risau kerana walau apa pun yang berlaku, pemimpin-pemimpin bumiputera akan sentiasa ‘terhegeh-hegeh’ memastikan pengaruh mereka sentiasa ada ‘di dalam’.
Lihatlah, bagaimana ‘baik’-nya orang-orang bumiputera kepada kaum minoriti. Walaupun ditolak sehingga tersungkur, mereka tetap membelai-belai dengan penuh kasih sayang. Trend ini sama sahaja di semenanjung dan persekutuan. Mereka tetap akan dilantik menjawat jawatan-jawatan penting seperti menteri, senator, pengerusi GLC, dan sebagainya walaupun kalah teruk.
Banyak lagi ruang atau cara yang lebih efektif bagi memastikan suara sesuatu masyarakat untuk didengari bagi menawarkan khidmat yang baik kepada masyarakat tersebut. Bukannya dengan memberikan jawatan menteri, GLC atau apa-apa lain yang tidak relevan pun!
Saya anggap ini hanya tindakan bermotifkan politik yang merugikan sahaja kerana akhirnya memberikan talian hayat dan parti tersebut terus relevan walaupun sudah lama mati.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
30 September 2020