PUCHONG, 3 Mei – Komuniti futsal Kg. Tengah terus berkembang sebagai salah satu inisiatif membina gaya hidup sihat dan berdaya saing dalam kalangan remaja dan kanak-kanak setempat.


Bermula sejak hujung tahun lalu melalui usaha ahli ISMA Subang Jaya yang berada disitu, komuniti ini aktif menjalankan sesi futsal pada setiap hujung minggu. Kehadiran yang konsisten menunjukkan komitmen mereka bukan sahaja dalam aktiviti sukan, malah dalam pembentukan disiplin diri.
Sebagai tanda sokongan, ISMA Subang Jaya telah menyumbangkan dua biji bola futsal yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua ISMA Subang Jaya, Ustaz Fahmi Bazlan. Sumbangan ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus aktif dan istiqamah.
Menariknya, majoriti peserta juga merupakan anak-anak yang konsisten hadir solat berjemaah di masjid, menjadikan aktiviti futsal ini sebagai pelengkap kepada pembangunan jasmani dan rohani.

Selain itu, antara pengisian yang pernah dijalankan bersama komuniti ini termasuk qiyamullail di Masjid Nurul Iman Kg Tengah, yang bertujuan menguatkan hubungan dengan Allah SWT di samping membina ukhwah sesama mereka.
Menurut YDP Subang Jaya, pembinaan Ummah Fadhilah bermula daripada kelompok kecil seperti ini. Usaha mengumpul dan membina komuniti setempat adalah langkah penting ke arah melahirkan generasi masa depan yang seimbang dan berakhlak.


