Kalau kita rasa susah, ada orang yang lagi susah

Pertama kali bertemu susuk tubuh ini. “Ramahnya dia”, bisik hatiku. Mesra dipanggil ‘akak’.

Sakan berbicara dengan senyuman yang tak lekang dibibir. Sekali pandang mungkin kita tidak akan menyangka bahawa beliau menyimpan 1001 rasa jauh di hati kecilnya. Tubuhnya yang tampak kurus dan matanya yang kekuningan menggambarkan kesihatan dirinya yang tidak mengizinkan.

“Rumah akak kat mana?” soalku dalam kesayuan.

“Ni saya menumpang di asrama Bangla, ada rumah kosong bos dia bagi duduk” jawabnya dengan semangat.

“Kita tak boleh naik rumah akak la ya?” tanya ku lagi.

“Ha ah orang luar tak boleh masuk” katanya.

Terpinga-pinga juga. ‘Takkan lah nak bersembang di kawasan letak kereta rumah flat tu je’, fikirku.

Saya melihat sekitar rumah flat ini. Memang ada pengawal keselamatan yang menjaga. Orang luar juga tidak dibenarkan masuk. Lalu saya pun mengajak beliau dan seorang anaknya untuk makan bersama di warung yang berdekatan. Bertambah hiba, rupanya mereka anak-beranak belum mengisi perutnya sejak pagi.

Beliau ibu tunggal dan dikurniakan seorang anak lelaki. Anak lelakinya yang kini berumur 14 tahun tidak lagi menjejak kakinya ke sekolah atas kesempitan hidup. Masalah kesihatan menyebabkan beliau tidak mampu lagi memerah keringat untuk bekerja. Perlu dialisis 3 kali seminggu. Ditambah pula dengan penyakit jantung berlubang dan tekanan darah rendah yang dihidapinya. Kadang kala perlu ditahan di wad jika memerlukan rawatan doktor.

Melihat keadaan beliau, majikan mana yang boleh menerima beliau sebagai pekerja? Hidupnya hanya bergantung kepada bantuan Baitul Mal dan belas ihsan jiran-jiran. Mujur kos rawatan dialisisnya percuma di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Dahulu, ada suami bersama. Namun, suaminya telah kembali menemui Maha Pencipta. Air matanya tidak mampu ditahan tapi beliau cukup kuat, tidak dia nampakkan air mata itu jatuh. Selepas beberapa bulan suami meninggal dunia, tuan rumah memberi masa 3 hari sahaja untuk keluar dari rumah disebabkan tidak mampu membayar sewa.

Ke mana lagi hala tuju ibu tunggal yang serba kekurangan ini? Sehingga akhirnya, mereka terpaksa menumpang di surau yang berdekatan. Nasibnya baik, ada hamba Allah yang mulia menumpangkan rumah sementara untuk berteduh. Tetapi, tidak boleh menumpang lama. Hanya menunggu masa untuk mengosongkan rumah kerana tidak dibenarkan lagi untuk tinggal disitu.

————-

Jentik hati.

Ujian masing-masing

Kalau kita rasa susah, ada orang yang lagi susah. Ujian yang Allah bagi sebagai tanda Allah sayang. Kadang kala terfikir, mungkin juga kita tidak mampu untuk menanggung ujian seperti . Bersyukurlah dengan segala nikmat.

Apabila kita turun dan selami kehidupan mereka, baru kita sedar bahawa ramainya orang yang masih hidup dalam kesusahan.

Sedih dan pilu.

—————-

Sebelum pulang, sempat kami serahkan sedikit keperluan asas rumah dan sedikit duit belanja untuk anaknya.

InsyaAllah, selepas ini kami akan ziarah lagi untuk sumbangan periuk nasi. Katanya periuk nasi dah rosak dan dapur gas juga tiada kerana pengurusan asrama dah ambil semula.

 

Siti Khatijah Salleh
Aktivis ISMA Johor Bahru

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat