Ibadah korban adalah salah satu syiar penting agama Islam, di sebalik pensyariatan ibadah ini ada tujuan besar yang hendak diajarkan kepada umat manusia berkaitan Tauhid.
Seperti kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangan iaitu Nabi Ismail As, menunjukkan ketinggian iman dalam melaksanakan kehendak Allah SWT Sungguhpun, baginda menerima zuriat di usia yang tua, dalam keadaan baginda baru menikmati masa-masa emas bersama anaknya yang mula membesar, Nabi Ibrahim As memahami isyarat ketuhanan melalui mimpinya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S. Seperti Firman Allah SWT:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu;..” (Surah As-Saffat 37: 102 )
Nabi Ibrahim AS tidak mengambil masa yang lama dalam mengambil Keputusan untuk melaksanakan kehendak Allah itu. Bahkan, baginda tenang dalam menghadapi ujian itu dengan berhadapan dengan anaknya dan memahamkan akan perintah dan kehendak Allah SWT ini. Seperti Firman Allah SWT :
فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
“maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat 37 : 102)
Namun jawapan seorang anak yang matang imannya dengan segera mengutamakan kehendak Allah SWT melebihi segalanya. Dengan penuh adab dan rasional mendukung hasrat ayahnya,
فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ
“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah..” (As-Saffat 37 : 103)
Di sini kuncinya dalam membina keimanan dalam ibadah korban ini, apabila keazaman serta kesanggupan untuk melaksanakan kehendak Allah SWT dan menyerahkan secara total urusannya kepadanya. Akhirnya Allah SWT hanya berkehendak kepada ketundukan kita secara mutlak dan jujur sehingga tiada perkara yang kita sembunyikan dari pengetahuannya termasuk dari rasa sempitnya dalam berkorban.
قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ
“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.” [As-Saffat 37: 105]
Menghidupkan keimanan sempurna
Kesan terbesar yang perlu dinilai dalam ibadah korban ini adalah, adakah kita menyelarikan setiap titik dalam hidup ini hanya untuk Allah SWT? Persoalan yang lebih asas, adakah kita rasa rugi menyerahkan nasib diri ini kepada Allah SWT? Sedangkan Allah menjanjikan kepada golongan ini ganjaran yang baik,
فَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ
“…Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat –“ (Al-Hajj 22: 34)
Ketundukan ini melahirkan jiwa yang sentiasa berhubung dengan Tuhannya, yang sentiasa bersabar atas setiap kesusahan, yang akan mencari kekuatan hidupnya dengan bersujud kepada Tuhannya dan yang akan berterusan mengorbankan setiap rezekinya untuk menunaikan kehendak Allah SWT.
ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَٱلصَّـٰبِرِينَ عَلَىٰ مَآ أَصَابَهُمْ وَٱلْمُقِيمِى ٱلصَّلَوٰةِ وَمِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ يُنفِقُونَ
“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Al-Hajj 22 : 35)
Ibadah korban menuntut lebih menyerahkan kehidupan kita semata-mata untuk yang dikehendaki oleh Allah SWT. Pada waktu itu barulah kita akan mencapai ketundukan yang sempurna. Yang tidak akan merasa sempit dan sedih dalam perjuangan ini.
بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌۭ فَلَهُۥٓ أَجْرُهُۥ عِندَ رَبِّهِۦ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
“(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Al-Baqarah 2 : 112)
Ustaz Wan Ahmad Fathin bin Wan Johari
Pegawai Eksekutif Kanan ISMA

