Polisi Takaful – Beban Yang Bermanfaat

Oleh : Akhma Deena Binti Khalid

Kadar penembusan produk insurans dan takaful di kalangan rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah. Sebab utama orang mencarum dalam polisi takaful adalah untuk memastikan ahli keluarga mempunyai bekalan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan selepas ketiadaannya nanti. Walaubagaimanapun, niat yang sangat murni ini kadangkala teruji apabila dirinya berdepan dengan situasi kewangan yang mencabar pada hari ini.

Ramai orang mula merasakan membayar caruman takaful saban bulan dan tahun seakan-akan tidak memberi apa-apa pulangan kepada dirinya. Lalu, mereka mula berfikir, alangkah baiknya jika jumlah yang sama dibelanjakan kepada perkara lain. Jika anda pernah terfikir perkara yang sama, jangan rasa bersalah kerana anda tidak keseorangan.

Namun, sekiranya keluarga anda bergantung sepenuhnya kepada pendapatan anda, atau anda mempunyai hutang yang masih tertunggak sama ada pinjaman kenderaan, pinjaman pendidikan atau bayaran kad kredit, anda berada dalam kategori WAJIB untuk memiliki perlindungan pendapatan. Malah, tindakan memastikan sumbangan bulanan anda dibuat dengan baik agar polisi tidak luput juga tidak pernah kurang pentingnya! Oleh itu, adalah sangat penting untuk sentiasa mengenang kembali apakah tujuan asal anda menyumbang dalam polisi takaful.

Berikut dikongsikan beberapa sebab mengapa menutup polisi takaful pada waktu sekarang bukan satu tindakan yang bijak.

1. Tiada polisi takaful, tiadalah perlindungan
Sebagaimana yang telah diterangkan awal tadi, polisi takaful yang diambil berfungsi untuk menyediakan perlindungan berbentuk sejumlah wang kepada waris selepas pemergian si mati. Jika si mati adalah ketua keluarga dan merupakan satu-satunya ahli yang diharapkan untuk menyara keperluan hidup keluarga tersebut, ketiadaan perlindungan akan mengakibatkan ahli keluarga yang ditinggalkan tidak mempunyai apa-apa sumber kewangan lagi untuk meneruskan kehidupan. Anda pastinya tidak mahu isteri dan anak-anak anda berada dalam situasi yang sukar ini, bukan?

2. Hutang tidak hilang selepas kematian
Alangkah indahnya jika dengan kematian seseorang, maka hutangnya juga turut “mati” bersamanya. Malangnya, ini tidak berlaku (kecuali dalam beberapa keadaan yang telah diaturkan terlebih awal). Hakikatnya, warislah yang wajib melangsaikan semua hutang yang ditinggalkan oleh si mati. Sebagai seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab, adakah anda tergamak meninggalkan hutang-hutang anda kepada waris untuk diselesaikan oleh mereka? Pilihan di tangan anda.

3. Sumbangan yang dikembalikan tidak sepenuhnya
Jika anda memahami bagaimana sumbangan takaful anda “bekerja”, anda pasti tahu bahawa bukan 100% wang caruman anda itu disalurkan ke dana simpanan individu. Malah di tahun-tahun awal caruman, sebahagian besar sumbangan anda diperuntukkan ke dana perlindungan. Ini bertujuan agar anda mendapat perlindungan penuh seawal polisi anda diluluskan. Sekiranya polisi ditutup, hanya jumlah yang terkumpul dalam dana simpanan sahaja yang akan dikembalikan.

4. Polisi baharu jauh lebih mahal
Jika anda merasakan bahawa, tak mengapalah untuk menutup polisi sekarang dengan harapan boleh membuat polisi baharu di masa depan, anda mungkin sedikit silap. Hal ini kerana membuka polisi baharu di masa hadapan akan menjadi lebih mahal berbanding polisi semasa kerana faktor umur yang semakin bertambah, juga keadaan kesihatan pada masa itu yang tidak menentu. Lebih mengharukan jika anda sudah berpenyakit, kemungkinan untuk permohonan membuka polisi takaful yang baharu ditolak juga akan berlaku.

5. Ketenangan jiwa
Mati ialah pasti. Namun, sudah tentu apa yang diharapkan ialah kematian yang baik. Walaupun kita semua mengetahui, wang walau sebanyak mana pun tidak akan mampu menggantikan sosok ketua keluarga yang meninggal dunia, sekurang-kurangnya pampasan dari polisi takaful yang ditinggalkan untuk waris sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka. Setidak-tidaknya mereka tidak perlu bersusah payah untuk mencari sejumlah wang untuk menampung kos pengebumian dan kos perubatan anda.

Kesimpulannya, simpanan atau caruman takaful secara konsisten adalah tindakan kewangan yang bijak kerana hal tersebut merupakan kaedah terbaik untuk memastikan kelangsungan hidup sesuatu keluarga setelah pemergian orang yang tersayang.

Jika anda mempunyai masalah untuk meneruskan sumbangan takaful bulanan anda, jangan bertindak terburu-buru dengan menutup polisi. Sebaiknya, hubungi mana-mana perunding takaful yang anda percaya dan minta khidmat nasihatnya sebelum membuat keputusan yang besar. Pastinya ada cara lain untuk mengurangkan sedikit bebanan kewangan bulanan anda tanpa menggadaikan nasib dan masa depan orang-orang yang anda sayangi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat