GOMBAK, 30 Oktober – Seramai 64 peserta menyertai Kejohanan Futsal Remaja Jemputan Inter-Kariah Gombak 2026 yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Kerdas 27 September lalu.
Sebagai usaha mendekati golongan remaja komuniti melalui aktiviti sukan yang menghubungkan mereka dengan masjid dan surau kejohanan anjuran GT Clan itu menghimpunkan lapan pasukan yang mewakili masjid dan surau sekitar Gombak.
Selain menjadi medan pertandingan sukan, program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk berkenalan, membina ukhuwah dan mengeratkan hubungan dengan institusi masjid dan surau di kariah masing-masing.
Melalui pendekatan sukan dan interaksi secara santai, penganjur berusaha mendekati golongan remaja yang aktif dalam komuniti serta membuka ruang kepada usaha bimbingan dan pembangunan mereka secara berterusan.
Bagi menyokong usaha tersebut, setiap masjid dan surau yang mengambil bahagian diberikan seorang pegawai penghubung atau person in charge (PIC) yang dilantik oleh pihak penganjur. PIC berperanan beramah mesra dengan peserta, membina hubungan dan mengeratkan ukhuwah sepanjang kejohanan berlangsung.
Kejohanan ini turut melibatkan lapan orang pengurus pasukan yang mewakili masjid dan surau masing-masing, dengan setiap pasukan diketuai oleh ketua belia setempat. Rakan penganjur, Asal Gombak, turut berganding bahu menjayakan program tersebut.
Majlis penyampaian hadiah dan ucapan turut melibatkan Naib Yang Dipertua ISMA Gombak, Imran Makki serta Penasihat GT Clan, yang menyokong usaha mendekatkan golongan remaja dengan masjid dan surau melalui pendekatan berasaskan komuniti.
Dalam kejohanan tersebut, Masjid Lama Batu 6 Gombak muncul sebagai juara, diikuti Masjid Bilal bin Rabah sebagai naib juara, manakala Surau Al-Husna, PPR Seri Semarak menduduki tempat ketiga.
Lapan pasukan yang mengambil bahagian ialah Masjid Gombak Utara, Masjid Lama Batu 6 Gombak, Masjid Al-Syakirin Gombak, Surau Al-Kahfi Pinggiran Batu Caves, Surau Al-Ikhwan Taman Samudera, Madrasah Al-Iman Sri Gombak Fasa 7, Surau At-Tarbiah Taman Melewar dan Surau Al-Husna PPR Seri Semarak.
Kejohanan ini memperlihatkan potensi sukan sebagai medium mendekati remaja dan membina hubungan dengan institusi masjid serta surau. Pendekatan ini turut membuka peluang kepada institusi berkenaan untuk memainkan peranan yang lebih dekat dalam kehidupan golongan muda di kawasan kariah masing-masing.
Penganjuran Kejohanan Futsal Remaja Jemputan Inter-Kariah Gombak 2026 diharapkan menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih erat antara remaja, penggerak belia dan institusi masjid serta surau, sekali gus menyokong usaha membentuk generasi muda yang aktif, berakhlak dan berwawasan.


