Semua orang kena jadi ustaz dan ustazah bukan hanya orang belajar agama sahaja yang perlu jadi ustaz ustazah. Eh faham ke ni?
Isu dia apabila media suka sangat main sentimen agamawan sebagai tajuk ‘best’ nak melakukan cerita. Sehingga menghilangkan rasa percaya masyarakat terhadap agamawan itu sendiri. Ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Baca berita di link berkaitan: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/763595/pengetua-ditahan-dipercayai-rogol-pelajar
Saya tidak menafikan memang ada segolongan manusia yang bertunggangkan agama. Depan manusia lain digelar alim ulama, belakang? Hanya Allah yang tahu, sekali terkantoi, jawablah di dunia dahulu sebelum dibelenggu pula di akhirat kelak.
Jika kita perasan, mengapa media sering memaparkan isu sebegini? Sebenarnya itulah agenda orang kafir untuk menyesatkan umat Islam. Apabila semua orang tidak lagi menghormati para ulama, maka muncul lah petualang lain mengatakan ulama itu hanya manusia, tidak perlu berpegang pada kata-katanya.
Lalu, mereka mentafsir al-Quran dan hadis sesuka hati mereka. Katanya itu ilmu yang telah disalahgunakan oleh ulama selama ini. Itulah kaum-kaum berkiblatkan liberalisme.
Media, jika tidak ditalakan ke jalan yang benar, maka begitulah hasilnya. Begitulah berita-berita yang dihidangkan kepada kita.
Yang merosakkan pemikiran lebih banyak dari yang mendidik. Di sini, besarnya peranan kita. Peranan ibu bapa dalam mendidik kerangka pemikiran anak-anak seawal usia dari rumah.
Jadi, sebagai seorang manusia yang beriman. Kita wajar menggelar diri kita sebagai wartawan ummah. Selagi mana ada perkara yang perlu ditegaskan, kita perlu berlaku adil.
Manusia yang beriman, dia bersungguh-sungguh mendalami agama, tidak kira dia dari bidang apa pun. Hatta dia seorang doktor, peguam, jurutera dan apa pun bidang profesionnya, wajar dan wajib baginya mendalami ilmu agama. Supaya setiap dari kita menyempurnakan suruhan Allah untuk masuk ke dalam agama Islam itu secara keseluruhan bukan sebahagian sahaja.
Nurul Hajar binti Atan
Aktivis ISMA Johor Bahru