Dalam era moden yang sarat dengan pengaruh pelbagai aliran ideologi, termasuk feminisme yang memperjuangkan kebebasan individu serta kesamarataan mutlak antara lelaki dan wanita, wanita Muslimah perlu kembali menilai peranannya berdasarkan panduan wahyu, bukan semata-mata menurut acuan pemikiran semasa.
Islam mengangkat martabat wanita dengan memberikan hak, kedudukan dan tanggungjawab yang seimbang sesuai dengan fitrah penciptaannya. Dalam menghadapi cabaran zaman, kisah Siti Hajar; isteri Nabi Ibrahim AS dan ibu kepada Nabi Ismail AS, menjadi teladan agung tentang keimanan, pengorbanan, ketabahan dan kesungguhan seorang wanita dalam membentuk generasi Muslim yang unggul.
Islam menetapkan peranan berdasarkan fitrah
Syariat Islam tidak menzalimi wanita, bahkan menetapkan hak dan tanggungjawab yang adil sesuai dengan penciptaan lelaki dan wanita.
Allah SWT berfirman:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya:
“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf, akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Baqarah 2 : 228)
Wanita Muslimah yang memahami syariat akan menyedari bahawa tugasnya sebagai isteri dan ibu adalah amanah besar yang bukan sekadar tanggungjawab sosial, bahkan jalan menuju keredaan Allah SWT.
Iman kepada Allah membentuk kesedaran peranan dan amanah
Wanita Muslimah yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar keimanan akan memahami tujuan sebenar kehidupan. Dia memahami dengan jelas bahawa Allah SWT menciptakannya di muka bumi ini ada tujuannya. Sebagaimana firman Allah swt :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya:
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
(Surah al-Dhariyat 51: 56)
Wanita Muslimah yang memahami tujuan hidup akan melihat bahawa membina keluarga dan mendidik anak-anak adalah medan jihad yang besar dan merupakan ibadahnya kepada Allah SWT, maka dia akan menggalas tanggungjawab tersebut dan menunaikannya dengan sebaiknya tanpa mengharap kepada orang lain. Hanya dia dengan Tuhannya.
Kisah Siti Hajar membuktikan bahawa wanita yang teguh imannya mampu melahirkan generasi yang unggul.
Ketika Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk meninggalkan Siti Hajar bersama bayi mereka, Ismail AS, di lembah tandus yang tiada penghuni (Makkah), Siti Hajar bertanya:
“Adakah Allah yang memerintahkan kamu melakukan ini?”
Apabila Nabi Ibrahim AS menjawab “Ya”, maka Siti Hajar berkata:
“Kalau begitu, Allah tidak akan mensia-siakan kami.”
Jawapan ini menggambarkan keimanan dan keyakinan Siti Hajar yang mutlak kepada Allah SWT dan ketaatan dalam menyahut perintah Ilahi. Siti Hajar tidak memberontak, tidak menuntut suatu apa pun dari suaminya, Dia tidak menyalahkan suaminya. Siti hajar bersedia memikul amanah dan menggalas tanggungjawab tanpa mengharapkan bantuan suaminya.
Wanita bertanggungjawab terhadap rumah tangganya
Islam menegaskan bahawa wanita mempunyai peranan besar dalam institusi keluarga.
Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ فَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya:
“Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin. Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumahtangga, suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin.”
[Muttafaqun ‘alaih]
Hadis ini menunjukkan bahawa peranan wanita bukan sekadar menjadi isteri yang melayani suami dan menjadi pelengkap rumah tangga, tetapi wanita adalah pendidik utama generasi. Ibu adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Ibu berperanan menanam akidah dan keimanan dalam diri anak-anak, membentuk akhlak mulia, dan memastikan perkembangan fizikal, mental dan rohani yang sihat dan kuat, serta memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna.
Hasil didikan Siti Hajar: Lahirnya Nabi Ismail AS
Nabi Ismail AS membesar sebagai anak yang soleh, taat dan sabar. Keperibadian Baginda terserlah ketika menerima perintah Allah SWT melalui ayahandanya untuk disembelih. Peristiwa ini Allah telah rakamkan di dalam surah al-Saffat ayat 102:
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يٰبُنَيَّ اِنِّيْٓ اَرٰى فِى الْمَنَامِ اَنِّيْٓ اَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرٰىۗ قَالَ يٰٓاَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُۖ سَتَجِدُنِيْٓ اِنْ شَاۤءَ اللّٰهُ مِنَ الصّٰبِرِيْنَ
Maksudnya:“Ketika anak itu sampai pada (umur) ia sanggup bekerja bersamanya, ia (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku, sesungguhnya aku bermimpi bahwa aku menyembelihmu. Fikirkanlah apa pendapatmu?” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu! Insyaallah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang sabar.”
Akhlak mulia, ketaatan dan keteguhan iman Nabi Ismail AS pastinya terbentuk hasil asuhan dan didikan dari ibunya; Siti Hajar yang mulia.
Pedoman pendidikan anak
Wanita Muslimah hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti tuntutan kerjaya, ideologi yang menuntut kebebasan mutlak serta hak kesamarataan, budaya individualisme dan penghakisan institusi keluarga.
Tetapi jangan dilupakan asas penting dalam mendidik anak-anak, ialah menjaga hubungan yang kuat dengan Allah SWT dan sematkan dalam jiwa anak-anak sejak kecil. Antara pedoman yang boleh dipegang oleh wanita Muslimah dalam mendidik anak-anak boleh diambil dari sabda Rasulullah SAW:
احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ باِللهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ
“Jagalah Allah, niscaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu. Jika engkau mau meminta, mintalah kepada Allah. Jika engkau mau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah. Ketahuilah apabila semua umat berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak bisa memberikan manfaat kepadamu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan seandainya mereka pun berkumpul untuk menimpakan bahaya kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak dapat membahayakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah Allah tetapkan bagimu. Pena-pena (pencatat takdir) telah diangkat dan lembaran-lembaran (catatan takdir) telah kering.’”
[HR. Tirmidzi]
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan buat semua wanita yang berjuang memikul amanah besar ini, menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga terlahir generasi Muslim soleh yang memperjuangkan agama-Nya.
Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Pegawai Eksekutif Kanan ISMA


