4 Mac: Dunia Islam Kehilangan Panglima Terhebat

Tanggal 4 Mac 1193 Masihi, dunia Islam menangisi gugurnya seorang pemerintah dan ketua angkatan tentera yang telah melakar sejarah besar buat umat Islam.

Salahuddin Al Ayubi atau Saladin dalam panggilan orang Barat, lahir pada tahun 1137M di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 kilometer dari kota Baghdad, Iraq.

Semasa umurnya mencecah 14 tahun, beliau telah menjadi tentera kepada Sultan Nurudin sebelum menjadi jeneral.

Siapa sangka pahlawan Islam yang berketurunan Kurdis itu telah berhadapan dengan golongan Syiah daripada kerajaan Fatimiyah di Mesir dan berjaya mengalahkan mereka!

Selepas Salahuddin diangkat menjadi pemerintah Mesir pada 1174M, beliau telah membuat pelbagai pembaharuan, antaranya:

  1. Membina sekolah bermazhab Ahli Sunah wal Jamaah,
  2. Membuka pintu gerbang kota Mesir kepada orang luar.
  3. Membina banyak tempat kemudahan seperti masjid dan hospital.
  4. Menetapkan hari Isnin dan Selasa untuk berjumpa rakyat.
  5. Tidak terhenti di Mesir sahaja, malah beliau juga telah melebarkan kekuasaannya ke Syria dan Turki.

Angkatan tentera Islam di bawah kepimpinannya juga berjaya menakluki tiga kota hebat ketika itu iaitu Damsyik (1174M), Aleppo (1178M) dan Mosul (1186M).

Bagaimanapun, Salahuddin tidak pernah menganggap kemenangan beliau hanya sebagai satu kejayaan yang membanggakan semata-mata kerana cita-cita terbesarnya adalah untuk menawan kota Palestin.

“Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih di bawah jajahan musuh?” kata Salahuddin apabila ditanya mengapa beliau sentiasa serius dan tidak pernah ketawa.

Tetapi mengapa Salahuddin sanggup bertarung mendapatkan Palestin dan Al-Aqsa walhal itu bukan pun negeri tanah tumpah kelahirannya?

Ini kerana beliau pernah memberitahu iaitu:-

“Sesiapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia.”

Beliau bukan sahaja berjaya mengumpulkan tentera-tentera Islam yang berbeza bangsa, suku dan puak, malah mampu menyatukan fahaman yang sering bertelagah iaitu Syiah dan Ahli Sunah wal Jamaah.

Selain itu, adalah faktor kejayaannya berdakwah kepada penduduk Syam (kini Palestin, Lubnan, Syria dan Jordan), Iraq, Yaman, Hijaz (kini Arab Saudi) serta Maghribi untuk berjuang atas nama Islam.

Pertempuran pembukaan untuk menakluk Baitulmaqdis telah berlaku semasa Perang Hittin di Galilee pada 4 Julai 1187M.

Akhirnya, tentera Islam di bawah kepimpinan Salahuddin telah mengalahkan tentera Salib dengan 30,000 askar Kristian terbunuh dan 30,000 lagi berjaya ditawan yang secara tidak langsung membuka jalan mudah untuk menawan Palestin semasa Perang Salib II.

Kehebatan Salahuddin menawan Palestin telah menggegarkan dunia dan mengakibatkan pemerintah-pemerintah Kristian di benua Eropah ‘berputih mata’.

Hampir semua raja Dunia Kristian seperti Raja Jerman, Fredrick Barbossa; Raja England, Richard The Lion Heart; Raja Perancis, Philips Augustus; Raja Austria, Leopold, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu bagi menebus maruah atas kekalahan mereka dalam Perang Salib II.

Tentera Salib kemudian telah dipimpin oleh Richard the Lion dari England dengan melawan tentara Islam pimpinan Salahudin dalam Perang Salib III.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun yang membawa kepada persetujuan kedua-dua belah pihak untuk memeterai perjanjian di Ramlah pada 1192 M dengan mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin secara keseluruhannya kecuali bandar Acra yang diletakkan di bawah pemerintahan Kristian.

Bagaimanapun, zaman kegemilangan panglima tentera terhebat dalam sejarah Islam ini sampai ke penghujungnya.

Semasa berumur 55 tahun, Salahuddin telah menghembuskan nafas terakhir pada 4 Mac 1193 di Syria.

Semasa pemergiannya, dikatakan hanya mempunyai satu dinar dan 47 dirham harta yang dimiliki malah ia tidak cukup untuk menguruskan pengebumiannya.

Peninggalannya bukanlah harta tetapi jasa dan pengorbanan yang besar terhadap Islam.

Tanah Palestin telah berjaya dirampas dari tentera Salib semasa zaman pemerintahannya. Namun, hari ini tanah yang sama sedang dirobek oleh kezaliman dan kerakusan tentera Israel.

Hari Nakbah 15 Mei 1948, memberitahu bahawa rejim Israel telah menempah tiket awal mendapatkan tanah Palestin dan menubuhkan negara haram Israel.

Lebih meruncingkan lagi apabila satu demi satu negara-negara Arab telah menormalisasikan hubungan dengan Israel sehingga sanggup mengetepikan saudara Islam Palestin demi kepentingan masing-masing.

Ibaratnya bumi Palestin yang diperoleh dengan darah oleh tenteram Islam sebelum ini bakal terlepas begitu saja.

Sudah pasti Salahudin dan tentera Islam yang berjuang bersamanya akan kecewa dan terluka apabila mengetahui hal ini.

Adakah kita hanya berdiam diri saat umat Islam di negara lain khususnya Palestin dizalimi musuh Islam?

 

Yusre Zulhamize Bin Zainuddin
Ketua BKOM ISMA Bangi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat