KENYATAAN MEDIA: ISMA Mahu Penganut Kristian Berhenti Guna Kalimah Allah

Ikatan Muslimin Malaysia menzahirkan rasa dukacita atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama, pendidikan dan komuniti mereka.

ISMA melihat sekiranya penganut agama Kristian mahu menggunakan kalimah Allah kerana merujuk kepada bahasa Melayu ianya sesuatu yang salah kerana Allah bukan perkataan bahasa Melayu.

Penganut Kristian juga ada nama tuhan yang tersendiri dan tidak perlu bersusah payah untuk meminjam nama tuhan agama lain sehingga menimbulkan ketegangan bukan sahaja di kalangan penganut agama lain, bahkan di kalangan penganut agama Kristian sendiri.

Oleh itu ISMA membantah sekeras-kerasnya tindakan penganut agama Kristian yang tetap mahu menggunakan kalimah Allah dalam apa juga keadaan.

ISMA dengan ini menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

ISMA juga menyokong kesemua resolusi yang digariskan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) iaitu :
1. Menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu terhadap keputusan ini ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera dan meminta penangguhan perlaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai. KDN perlu mengeluarkan pekeliling baharu pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan.

2. Menuntut kerajaan dan jawatankuasa Pemilihan Hakim untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar dilantik sebagai hakim.

3. Menyaran agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam mengambil serius perihal dan isu ini kerana ianya membawa implikasi yang besar kepada umat Islam dan kita menyarankan agar satu MEMORANDUM bantahan dihantar kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) di setiap negeri dengan kadar yang segera.

4. Menuntut kerajaan mengadakan preamble (mukadimah) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan Islam.

5. Menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka selaku badan berautoriti terhadap bahasa untuk memberikan DEFINISI kepada ‘God’ sebagai ‘Tuhan’ bagi menghilangkan pertikaian yang timbul.

6. Memohon ampun perkenan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing untuk mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan supaya Islam tidak terus dihina dan dipermain-mainkan.
Sekian, terima kasih.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
16 Mac 2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat