SANDAKAN, 6 Ogos – Wanita ISMA Cawangan Sandakan baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Penghargaan Wanita ISMA 2026 di Mawarni Event Mini Hall, Taman Mawar, Sandakan, sebagai tanda penghargaan kepada para aktivis dakwah yang istiqamah menyumbang bakti kepada agama dan masyarakat.
Program yang menghimpunkan seramai 40 orang peserta ini berlangsung dalam suasana meriah, syahdu dan penuh ukhuwah.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa memohon keberkatan yang dipimpin oleh Ustazah Asma’ Ampong, sebelum diteruskan dengan ucapan dan tazkirah oleh Ketua Wanita ISMA Sandakan, Puan Sitti Rahmah binti Rolla. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru mengaji dan sukarelawan yang terus istiqamah membimbing masyarakat serta menggerakkan usaha dakwah dengan penuh keikhlasan.
“Ingatlah bahawa setiap amal kebajikan, sama ada yang dizahirkan mahupun yang tersembunyi, tidak pernah terlepas daripada pengetahuan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah At-Taubah ayat 105 :
“Dan katakanlah: Beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman”, katanya.
Beliau juga menyeru agar seluruh aktivis terus memperkukuh dakwah secara berjemaah, serta terus cekal menghadapi cabaran dalam membina keluarga, membimbing komuniti dan menyuburkan tarbiyah.
Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Ustazah Rosita binti Rejab, Naib Ketua Perhubungan Negeri 2, ISMA Sabah.
“Setiap mukmin perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berbakti kepada agama ini mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Menurut beliau lagi, kesediaan berkhidmat di jalan dakwah merupakan manifestasi rasa syukur atas nikmat iman dan Islam yang menghimpunkan para hadirin dalam majlis tersebut.
Program turut diserikan dengan deklamasi sajak “Musafir Menuju Akhirat” oleh Ustazah Asma’ dan Puan Marlina yang berjaya menyentuh hati para hadirin. Persembahan kedua bertajuk “Seruan Dakwah” oleh Adik Aisy Anaqi bersama ibunya, Puan Siti Ruhaiya binti Hapi, pula membangkitkan semangat serta iltizam kepada para dai untuk terus berbakti kepada agama dan masyarakat.
Suasana kemesraan terus dirasai menerusi selingan kuiz, sesi pertukaran hadiah, jamuan makan tengah hari dan cabutan bertuah yang begitu menceriakan para peserta.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Wanita ISMA Sandakan sebagai tanda penghormatan atas komitmen dan khidmat bakti mereka sepanjang menggerakkan agenda dakwah. Penyampaian disempurnakan oleh Ustazah Rosita bersama Puan Sitti Rahmah.
Majlis ini menjadi bukti penghargaan Wanita ISMA Sandakan terhadap para penggerak dakwah yang sentiasa berbakti dengan kesungguhan dan kesetiaan. Diharapkan program seumpama ini terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan ukhuwah dan usaha melahirkan lebih ramai wanita yang berperanan aktif menjadi nadi dalam membangunkan ummah.


