Mengapa Lupa Rakaat Dalam Solat?

1. Perasan atau tidak, kita lebih mudah ingat barang yang kita lupa ketika melaksanakan solat? Sedangkan diluar solat kita tidak ingat tentang perkara itu? Sehingga menyebabkan kita terlupa berapa rakaat yang telah kita tunaikan.

2. Fenomena “ingat barang” dalam solat ini pada hakikatnya telah disebutkan dalam hadis Nabi. Rasulullah membayangkan kepada kita bahawa syaitan sering mengganggu seseorang dalam solatnya sehingga mengingatkan kepadanya perkara yang dia terlupa diluar solat. Sabda Rasulullah:

إِذَا قُضِيَ التَّثْوِيبُ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطُرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ لَهُ اذْكُرْ كَذَا وَاذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ مِنْ قَبْلُ حَتَّى يَظَلَّ الرَّجُلُ مَا يَدْرِي كَمْ صَلَّى

“Sehinggalah iqamah itu telah selesai, maka syaitan akan kembali (mengganggu) hingga mengingatkan seseorang dalam dirinya. Syaitan berbisik: “Ingat demikian, ingat demikian” untuk sesuatu yang tidak dia ingat sebelumnya hingga seorang lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia telah solat.” (Sahih Muslim)

3. Atas dasar itu kita sering dinasihatkan agar memohon perlindungan Allah dari gangguan syaitan sebelum solat. Seorang sahabat Nabi bernama Usman bin Abi al-As pernah mengadu kepada Rasulullah dia sering tidak khusyuk dan diganggu. Maka Rasulullah berpesan:

ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ

“(Yang mengganggu kamu) itu ialah gangguan syaitan yang dinamakan Khanzab. Oleh itu apabila kamu rasa diganggunya, maka segeralah mohon perlindungan kepada Allah dari godaannya” (Sahih Muslim)

4. Oleh itu andai kita sering terganggu dalam solat, mohonlah perlindungan dari Allah dengan isti’azah (bacaan A’uzubillahi Minasy Syaitan) dan berdoalah agar Allah membantu kita khusyuk dalam solat.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Ahli Majlis Ulama’ ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat