KENYATAAN MEDIA : Isma Cadang Istana Terlibat Lebih dalam Pentadbiran Negara

KENYATAAN MEDIA

Isma Cadang Istana Terlibat Lebih dalam Pentadbiran Negara

Melihat kepada perkembangan terkini berkenaan kenyataan dukacita Yang Di-Pertuan Agong yang dizahirkan pada 29 Julai 2021 terhadap pengisytiharan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat oleh kerajaan semasa sidang khas parlimen 26 Julai 2021 yang lepas, Isma mengeluarkan pandangan berikut:

1. Isma melihat perkembangan ini dengan perasaan bimbang. Apa yang berlaku menunjukkan ketidakharmonian hubungan antara kerajaan dan pihak Istana. Ia adalah perkara yang amat berbahaya bagi sebuah negara yang mengimbangi antara konsep Demokrasi Berparlimen dan konsep Raja Berperlembagaan.

2. Isma menyeru agar Perdana Menteri mengambil langkah memohon maaf dan menjernihkan semula hubungan antara kerajaan dan Istana agar isu ini tidak berlarutan lalu menjadi lebih buruk. Kestabilan negara amat bergantung antaranya kepada hubungan yang baik antara kerajaan dan Istana.

3. Isma juga menyeru supaya Perdana Menteri dan kerajaan mengambil langkah yang lebih bertanggungjawab supaya dapat menguruskan negara selari dengan undang-undang dan secara telus tanpa ada agenda tersembunyi. Membuat keputusan besar di sebalik agenda tersembunyi hanya akan menjebakkan negara dalam banyak masalah di masa akan datang.

4. Isma juga memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dari situasi ini untuk melakukan apa-apa langkah yang akan memburukkan lagi keadaan. Semua pihak perlu bertanggungjawab mengambil tindakan yang tidak memudaratkan negara ke keadaan yang lebih buruk dari sekarang.

5. Isma mencadangkan agar pihak Istana mempertimbangkan kemungkinan untuk terlibat lebih dalam pentadbiran negara terutamanya dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara serta agar gejala Covid ini boleh dibendung dengan sebaiknya.

Sekian terima kasih.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Presiden Isma

29 Julai 2021

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat