Kini sudah mula ada arus kuat mengecam keras program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan awam seperti mana yang tular di media sosial.
Pada mulanya, pemimpin-pemimpin parti-parti Cina iaitu dari DAP, MCA dan GERAKAN laju keluarkan kenyataan senada dalam membantah program tersebut. Tetapi kini sudah masuk ke PKR pula.
Yang uniknya, 12 ahli parlimen PKR ini semuanya Cina. Walaupun mereka bukan dari parti Cina, tetapi semacam berlumba-lumba pula dengan DAP, MCA dan GERAKAN. Takkanlah kebetulan sahaja.
Sudah berapa hari mereka buat kenyataan bantahan sedemikian, tak ada apa-apa tindakan yang dibuat terhadap mereka lebih-lebih lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah presiden parti. Apa guna cakap berdegar-degar, tapi ahli parlimen dari parti sendiri pun tak boleh nak kawal.
Kononnya menurut mereka, program-program di sekolah dan universiti mesti bebas daripada unsur kedendaman dan keganasan. Selepas itu, berduyun-duyun pula NGO yang menyusul untuk membantah sampai kerajaan pun macam nampak nak tarik ‘handbrake’ dah.
Sebenarnya, saya tak terkejut sangat dengan arus tentangan sebegini lebih-lebih lagi baru-baru ini telah ada himpunan yang melarang peserta mengutuk pemimpin Amerika dan Israel sehingga dilemparkan dengan label ‘Zionis’ kepada peserta yang engkar. Malah, sampai dilarang untuk bertakbir lagi.
Malah, semakin banyak seruan yang ingin menghapuskan semangat perjuangan dan kebersamaan aqidah dalam isu ini dengan mencairkannya dengan naratif kemanusiaan semata-mata.
Memandangkan arus ini semakin kuat, sudah ada suara-suara yang ‘mencucuk’ ke arah naratif agar kerajaan bersikap neutral dalam isu ini dan tidak berkempen agar rakyat berpihak.
Aminuddin Yahaya
Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA
1 November 2023